Kerjasama UDA, Bank Muamalat - Utusan Malaysia

Kerjasama UDA, Bank Muamalat

MOHD. Salem Kailany (dua, kiri) dan Khairul Kamarudin bertukar dokumen persefahaman antara UDA Holdings dan Bank Muamalat di Kuala Lumpur, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, UDA Holdings Berhad (UDA), dan Bank Mualamat Malaysia (Bank Muamalat) telah meme­terai memorandum persefahaman (MoU) yang merangkumi pelbagai aspek perniagaan.

MoU tersebut telah dimeterai dalam satu majlis ringkas di Ibu pejabat UDA dengan UDA diwakili Presidennya, Mohd. Salem Kailany, manakala Bank Muamalat oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Khairul Kamarudin.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, pihaknya berharap MoU itu dapat membantu lebih ramai golongan untuk memiliki hartanah di tengah dan pinggir bandar.

“Ini secara tidak langsung dapat membantu menaik taraf kehidupan mereka agar terus berkembang maju.

“Dengan adanya pakej pembiayaan perumahan Bank Muamalat dan hartanah oleh UDA ini, ia dapat memudahkan lagi semua golongan dan peringkat memiliki hartanah sendiri,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, UDA menyediakan pelbagai jenis produk hartanah di seluruh negara manakala Bank Muamalat menyediakan kemudahan pembiayaan dan khidmat nasihat untuk pembeli rumah, kenderaan dan pelaburan runcit serta pembiayaan peribadi.

Tambahnya, bank itu juga akan menyediakan pembiayaan akhir (end-financing) kepada pembeli berpotensi untuk produk hartanah yang dibangunkan oleh UDA di seluruh Malaysia.

Selain itu, jelasnya, khidmat nasihat dan kemudahan fasiliti turut disasarkan untuk usahawan industri kecil dan sederhana (IKS) yang melibatkan vendor dan rakan niaga.

Melalui MoU itu, lebih ramai golongan dikatakan akan mampu memiliki hartanah melalui Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) dan Skim Rumah PertamaKu (SRP) yang disediakan oleh Bank Muamalat dengan kerjasama Syarikat Jaminan Kredit Perumahan Berhad dan Cagamas Berhad.

Sementara itu, Pengerusi UDA, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, kerjasama itu membantu lebih ramai memiliki hartanah.

“Matlamat MoU ini adalah untuk menggerakkan usaha meningkatkan kadar pemilikan hartanah setiap segmen di Malaysia,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.