Kemajuan teknologi digital telah membuka potensi yang sangat luas dalam pelbagai aspek perhubungan dalam kehidupan hari ini. Ia telah menjadi tunggak penting dalam memudahkan urusan dan penyebaran informasi bagi merealisasikan pelbagai aspirasi perniagaan dalam konteks pemasaran dan perhubungan awam.
Kemudahan jaringan internet menjadi dasar pengukuhan ekonomi digital. Bagi sektor perniagaan, menguasai pengetahuan digital adalah menjadi tuntutan agar dapat memanfaatkan peluang dalam mendepani cabaran pasaran yang semakin kompetitif. Antara elemen yang perlu dikuasai adalah memahami asas pemasaran digital dan pemasaran media sosial dalam membina strategi pemasaran yang berkesan.
Pada dasarnya, pemasaran digital mempunyai beberapa sub-bahagian yang antaranya adalah pemasaran media sosial. Antara lain bermaksud, pemasaran media sosial adalah sebahagian daripada spektrum keseluruhan pemasaran digital. Perbezaan utama antara kedua platform ini sebenarnya terletak kepada pengendalian kandungan dalam menyebarkan risalah kepada sasaran pelanggan dan prospek pasaran.
Fungsi keseluruhan platform pemasaran digital pada kebiasaannya menjadi pilihan usahawan sebagai landasan jangka panjang yang menyokong pengukuhan kredibiliti perniagaan serta pasaran, manakala pemasaran media sosial pula dimanfaatkan bagi membina impak perhubungan yang lebih cepat melalui interaksi dan engagement audiens dalam menjayakan aktiviti promosi dan kempen pemasaran.
Terdapat dua bahagian utama dalam pemasaran digital iaitu Saluran Pemasaran Internet dan Saluran Digital Bukan Internet. Sub-pecahan ini memisahkan peranan setiap satu, namun boleh diintegrasikan dalam menjayakan aspirasi pemasaran digital.
Saluran Pemasaran Internet amat popular di kalangan pemain industri digital sejak internet mula diperkenalkan lagi. Sehingga kini, ia terus relevan dengan pelbagai penambahbaikan yang selaras dengan tuntutan trend industri semasa. Platform Saluran Pemasaran Internet merangkumi laman sesawang, laman e-dagang dan marketplace, ruangan blog, podcast serta laman interaktif digital.
Pemasaran kandungan adalah tunggak pengisian Saluran Pemasaran Internet. Membina artikel melalui penceritaan atau naskah iklan adalah kaedah yang perlu dilaksanakan bagi tujuan membina kesetiaan pelanggan, menjana pengkalan data pelanggan dan memperkukuh prospek pasaran baharu. Ia memerlukan pengetahuan untuk menawan ranking carian internet melalui teknik optimasi enjin carian (SEO), pemasaran enjin carian (SEM), pemasaran emel atau sepanduk dalam talian.
Saluran Digital Bukan Internet pula merupakan kemudahan media komunikasi yang tersedia melalui jaringan sistem komunikasi tradisional yang terus relevan dalam perhubungan hari ini. Ia bersifat reminder dalam memperingatkan pelanggan terhadap produk atau perkhidmatan, antaranya menggunakan pesanan teks ringkas (SMS, MMS), sehinggalah pemasaran papan iklan digital dan televisyen digital.
Saluran Pemasaran Internet dan Saluran Digital Bukan Internet yang diintegrasikan bersama dapat memberi impak pemasaran digital yang jauh lebih berkesan dalam menjayakan sesebuah kempen pemasaran. Ia memerlukan integrasi pemilihan saluran pemasaran digital yang selaras dengan kesesuaian persepsi jenama, produk dan perkhidmatan agar dapat membina capaian prospek pasaran yang kos efektif.
Pemasaran Media Sosial dari satu aspek sudah menjadi pilihan ramai peniaga dan usahawan. Tidak lengkap jika tidak disertakan dengan pengenalan platform media sosial sebagai antara saluran rasmi perniagaan. Pilihan platform popular di Malaysia antaranya adalah Facebook, Instagram, TikTok, YouTube, Twitter dan Linkedin. Setiap platform mempunyai ciri-ciri keistimewaan tersendiri dalam membina perhubungan perniagaan dan audiens secara terus melalui interaksi komen.
Justeru itu, mengenali kelebihan setiap landasan ini dapat membantu pemilihan yang tepat dalam memperkukuhkan strategi pemasaran. Ia juga merupakan landasan yang strategik dalam mendepani persaingan industri serta menerobos potensi pasaran tempatan dan global.
Penulis adalah perunding pemasaran bertauliah dan pakar pemasaran digital. – UTUSAN










