Binalaan Garden tarik minat pelancong - Utusan Malaysia

Binalaan Garden tarik minat pelancong

Pengunjung boleh beriadah bersama keluarga dengan menikmati kemudahan lengkap di Binalaan Garden.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BEAUFORT: Kawasan tanah lapang yang dahulunya hanya dipenuhi semak, kini berubah wajah menjadi taman pelancongan pertama di daerah yang terletak di pedalaman bawah Sabah ini.

Taman Pelancongan Binalaan Garden ini mula dibuka kepada pengunjung pada hujung 2019 dan kini menjadi tarikan utama pengunjung di sekitar daerah berhampiran.

Daliah Siput, 62, yang menguruskan Binalaan Garden melihat taman pelancongan yang didirikan atas usaha anaknya itu merupakan satu langkah berani bertujuan untuk merancakkan sektor eko-pelancongan di kawasan yang terletak kira-kira 108 kilometer dari Kota Kinabalu ini.

Wanita yang hanya berkebun sebelum ini tidak mempunyai sebarang pendedahan tentang pengurusan tapak pelancongan. Namun, berkat kesabaran dan tunjuk ajar diberikan oleh anak-anak, wanita ini mampu menguruskan taman itu bersama suami.

“Binalaan Garden ini dilengkapi dengan kemudahan kolam renang, rumah penginapan, pondok berteduh dan juga kolam ikan.

“Pengunjung taman pelancongan ini boleh melakukan pelbagai aktiviti menarik seperti mandi manda di kolam renang yang disediakan untuk pelbagai peringkat umur serta meluncur,” ceritanya.

Memandangkan kawasan tersebut berdekatan dengan sungai, ia juga menyediakan tempat untuk memancing dan memanah.

“Bagi mereka yang berminat untuk menikmati makanan secara BBQ, tempat khusus juga disediakan kepada pengunjung untuk menjamu selera secara BBQ pada waktu malam,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Daliah berkata, taman tersebut telah mendapat sambutan yang menggalakkan daripada orang ramai khususnya pada musim cuti persekolahan dan juga cuti hujung minggu.

Binalaan Garden kini telah menjadi salah satu destinasi menarik dalam kalangan pengunjung di Sabah dan ia bersesuaian untuk ahli keluarga atau bersama rakan beriadah dan bersantai dalam suasana persekitaran alam semula jadi yang segar.

Taman tersebut menawarkan kemudahan penginapan pada kadar sewa serendah RM80 untuk semalam.

Bagaimanapun, buat mereka yang berminat untuk berkhemah, pengunjung juga boleh memasang khemah di tempat khas yang disediakan dengan kadar sewaan khemah pada harga serendah RM20 semalam.

Tetapi kini, setelah pandemik Covid-19 melanda, pengunjung semakin berkurangan kerana pergerakan merentas daerah di Sabah hanya dibenarkan mengikut zon.

Berkongsi pengalaman sebagai sahabat AIM, Daliah berkata, sejak menyertai AIM 12 tahun lalu dan beliau mula belajar mengenai selok-belok perniagaan runcit namun, kedai runcitnya tidak dapat bertahan lama.

Pada tahun 2019, beliau mendapatkan pembiayaan AIM sekali lagi untuk mengusahakan kebun dan membina rumah penginapan di taman pelancongan itu.

Melalui pembiayaan sebanyak RM4,000 itu, beliau dapat membantu anaknya membina lebih banyak kemudahan di taman pelancongan tersebut. – UTUSAN

DALIAH SIPUT
No Telefon: 012-6216149/016 8052437
Lokasi: Taman Pelancongan Binalaan Garden, Beaufort
Perniagaan: Binaalan Garden

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.