Amrin Awaluddin Pengarah Urusan, CEO baharu TH - Utusan Malaysia

Amrin Awaluddin Pengarah Urusan, CEO baharu TH

AMRIN AWALUDDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Lembaga Tabung Haji (TH) melantik Datuk Seri Amrin Awaluddin (gambar) sebagai Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Tabung Haji yang baharu berkuat kuasa 6 Mei ini.

Amrin menggantikan Datuk Nik Mohd. Hasyudeen Yusoff yang akan melepaskan jawatannya sebagai Ahli Lembaga, Pengarah Urusan Kumpulan dan CEO berkuat kuasa 5 Mei ini selepas menerajui TH sejak 1 September 2019.

Menurut TH, pelantikan Amrin telah dipersetujui Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Zulkif­li Mohamad Al-Bakri.

“Amrin merupakan CEO Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dan mempunyai pengalaman lebih 30 tahun di sektor korporat serta memulakan karier di institusi perbankan sebelum memegang beberapa jawatan penting di syarikat seperti Renong Berhad, Malaysian Resources Corporation Berhad dan Putera Capital Berhad.

“Beliau kemudian dilantik sebagai CEO antaranya di Natseven TV Sdn. Bhd. (NTV7), Sistem Televisyen Malaysia Berhad, Media Prima Berhad, Sime Darby Property Berhad, Boustead Holdings Berhad dan LTAT,” katanya.

Tambah kenyataan itu, Amrin juga pemegang Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan dari Universiti Acadia, Kanada dan Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan (Kewangan) dengan kepujian da­ri University of Hull, England.

“Beliau juga ada­­lah ahli Institut Akauntan Pengurusan Bertauliah (CIMA), United Kingdom dan akauntan bertauliah Institut Akauntan Malaysia (MIA),” katanya.

Sementara itu, Pengerusi TH, Tan Sri Md. Nor Yusof berkata, pihaknya yakin dengan kemahiran dan pengalaman luas yang dimiliki Amrin akan dapat membawa TH ke tahap yang lebih cemerlang dan membanggakan.

“TH kini mempunyai kira-kira sembilan juta pendeposit dan dana terkumpul hampir RM80 bilion.

“Terima kasih kepada Nik Mohd. Hasyudeen atas komitmen serta usaha beliau dalam memajukan TH sebagai institusi Islam yang dihormati kerana pencapaian dan tadbir urus yang baik,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.