PETALING JAYA: Lazada telah menganjurkan Lazada Forward Women Awards 2021 yang julung-julung kali diadakan sempena Hari Wanita Antarabangsa bagi mengiktiraf
enam wanita cemerlang dari seluruh Asia Tenggara, termasuk usahawan Malaysia, Annie Chia.
Annie mengungguli bidang perniagaan e-Dagang ekoran keupayaan mempamerkan kedayatahanan dan
inovasi tinggi dalam perjalanan hidup mereka sebagai usahawan.
Anugerah tersebut meraikan pelbagai kejayaan serta pencapaian yang dicatatkan oleh para wanita di rantau ini dengan mengatasi segala dugaan serta cabaran di dalam kehidupan
peribadi, masyarakat dan budaya mereka.
Anugerah itu merangkumi tiga kategori iaitu Creative Seller Award, Enterprising Seller Award dan Inspiring Seller Award.
Ketua Pegawai Eksekutif Lazada Group, Chun Li ketika berucap pada majlis anugerah itu berkata, beliau berbesar hati kerana dikelilingi oleh para wanita yang sungguh
berinspirasi.
“Anda boleh menemui pelbagai cara menarik serta unik bagi memanfaatkan platform Lazada bukan sahaja membangunkan perniagaan di dalam talian anda, tetapi juga
berinteraksi dengan pelanggan dan menarik lebih ramai pengikut di samping meningkatkan lagi taraf hidup masyarakat di sekeliling anda.
“Lazada berbangga kerana dapat menjadi rakan kongsi anda dan berpeluang untuk menjadi sebahagian daripada kisah kejayaan anda,” katanya.
Annie yang merangkul Inspiring Seller Award, ialah pemilik NLWK Florist.
Pada 2017, sebahagian daripada bangunan Pasar Perambang telah terbakar, memusnahkan sebahagian daripada kedai bunga milik Annie yang diwarisi daripada
ibu bapanya, hingga menyebabkan beliau hampir hilang segalanya termasuk mata pencarian keluarganya.
Annie kemudian menyewa kedai sementara selama dua tahun dan selepas bersetuju dengan cadangan daripada kawannya, beliau membuat keputusan untuk menerokai
kaedah jualan baru secara digital melalui kedai dalam talian, dan akhirnya bertapak di dalam Lazada Malaysia.
“Sebagai penerima pertama anugerah ini dari Malaysia, saya berasa amat berbesar hati dan gembira. Lazada telah memberi peluang kepada saya untuk mempelajari kemahiran-kemahiran
baru apabila saya membuka kedai di dalam talian, dan kini saya dapat berkongsi ilmu pengetahuan saya dengan komuniti peniaga dan para pengguna yang lain.
“Perjalanan ini sememangnya telah menguatkan lagi keyakinan saya dan saya berharap ia menjadi satu peringatan untuk wanita-wanita lain bahawa mereka juga boleh mencapai apa yang mereka
impikan,” kata Annie.
Sebagai sebahagian daripada acara penyampaian anugerah tersebut, Chun Li turut menyertai sesi perbincangan yang dikendalikan oleh Virginia Tan, Rakan Pengasas Teja Ventures dan
Pengasas Bersama, She Loves Tech, bersama-sama dengan ahli panel Ayesha Khanna, Ketua Pegawai Eksekutif Addo.ai, mengenai topik Memupuk Keusahawanan Wanita di Asia Tenggara:
Cabaran dan Peluang Semasa
Ekoran pertumbuhan pesat e-Dagang di Asia Tenggara, terdapat peningkatan dari segi jumlah pemilik perniagaan wanita yang telah beralih kepada ekonomi digital bagi mencari hala tuju
kerjaya yang baru.
Ia dipengaruhi oleh pelbagai faktor seperti kemudahan untuk memulakan perniagaan dari rumah, halangan kemasukan yang rendah dan kemudahan untuk mendaftar
kedai di dalam platform Lazada, serta kebolehdapatan pelbagai perkhidmatan, penyelesaian dan ilmu pengetahuan untuk mengekalkan dan membangunkan perniagaan yang disediakan
oleh Lazada, dan banyak lagi. – UTUSAN










