UEM Edgenta sasar jimat RM100 juta - Utusan Malaysia

UEM Edgenta sasar jimat RM100 juta

SYAHRUNIZAM SAMSUDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: UEM Edgenta Bhd. menyasarkan penjimatan lebih RM100 juta dalam tempoh lima tahun akan datang dengan memfokuskan kepada industri penjagaan kesihatan sebagai syarikat penyelesaian teknologi dalam bidang tersebut.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Syahrunizam Samsudin berkata, selaras dengan visi Edgenta of the Future 2025 (EOTF2025), sasaran itu dilihat mampu dicapai berdasarkan pada kecekapan operasi dan kos yang diaturkan oleh syarikat itu.

“Untuk menjadikan UEM Edgenta lebih efisien serta mendukung persekitaran perniagaan masa depan, kami akan membuat langkah-langkah prediktif dan pencegahan melalui mekanisme automasi teknologi, mengoptimumkan perolehan dan memperkemas struktur perniagaan.

“Kami juga akan meningkatkan cadangan produk dan teknologi kami dengan penggunaan sistem berasaskan cloud yang sedang kami bangunkan dan perisian sebagai platform perkhidmatan untuk menarik pelanggan baharu,” katanya dalam taklimat media secara maya, semalam.

Menurut Syahrunizam, EOTF2025 akan memberi tumpuan untuk meluaskan pengaruhnya dalam pasaran pertumbuhan baharu seperti Arab Saudi, selain memperluas kehadirannya di pasaran sedia ada yang merangkumi Singapura, Taiwan, Dubai, India, Indonesia, dan Malaysia. 

“Kami baru sahaja menamatkan kajian pasaran kami dan telah mengenal pasti dua rakan kongsi yang berpotensi di Arab Saudi yang kami boleh bekerjasama dengan memberi tumpuan kepada perkhidmatan sokongan penjagaan kesihatan. 

“Sama seperti apa yang kami buat di Malaysia, Singapura dan Taiwan, kami ingin mengeksport beberapa teknologi dan keupayaan untuk diguna pakai oleh rakan kongsi yang boleh menggunakan platform teknologi kami untuk menyampaikan perkhidmatan sokongan hospital. 

“Arab Saudi turut memiliki pasaran yang lebih besar daripada segi penyumberan luar perkhidmatan dalam pengurusan hospital. Oleh itu, kami merasakan ini adalah peluang pasaran yang baik untuk kami nilai sekali gus membina potensi perniagaan akan datang di sana,” katanya. 

Untuk jangka masa panjang, Syahrunizam berkata UEM Edgenta yang merupakan syarikat penyelesaian pengurusan aset dan infrastruktur terkemuka di rantau ini akan terus komited terhadap dasar dividennya dan memastikan syarikat menyediakan aliran dividen yang mantap.   

“Dengan inisiatif EOTF2025 yang baharu ini, kami berharap akan mewujudkan kumpulan yang lebih berdaya tahan, berskala, kos efektif, dan kumpulan yang berprestij pada masa akan datang,” ujarnya.   

Sementara itu, Ketua Pegawai Kewangannya, Hillary Chua Pei Sum memaklumkan, bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2020, syarikat itu mempunyai lembaran imbangan yang kukuh dengan jumlah aset sebanyak RM2.9 bilion dan kedudukan tunai bersih sebanyak RM206 juta, disebabkan kutipan yang mantap daripada pelanggan utamanya pada suku keempat termasuk Kementerian Kesihatan. 

“Dengan nisbah penggearan kasar 0.32 kali, syarikat mempunyai banyak ruang untuk digunakan sebagai pengumpilan bagi pertumbuhan perniagaan masa depan.

“Syarikat dijangka kembali ke paras 2019 pada sekitar RM80 juta, selepas pembiayaan bagi visi EOTF2025 diperoleh daripada penjimatan dalam perniagaan itu sendiri selepas beroperasi,” jelasnya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya