Tubuh bank daulat atasi jurang kekayaan sektor perbankan - Utusan Malaysia

Tubuh bank daulat atasi jurang kekayaan sektor perbankan

Dalam memacu agenda kelestarian, antara cabaran utama yang dikenal pasti dalam Laporan Landskap Kewangan Mampan di Malaysia ialah kualiti dan ketersediaan data yang lemah. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan perlu mempertimbangkan penubuhan bank daulat di bawah Bank Negara Malaysia (BNM) supaya bank komersial tidak mengaut keuntungan yang terlalu tinggi.

Menurut Pensyarah Kanan Putra Business School (PBS), Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff, ia merupakan antara langkah reformasi sistem monetari yang boleh dilakukan kerajaan bagi mengatasi masalah jurang kekayaan terutamanya dalam industri perbankan.

Ia berikutan laporan peningkatan upah eksekutif bank pada tahun lalu yang dilihat tidak munasabah ketika rakyat menderita akibat krisis ekonomi dan kesihatan disebabkan pandemik.

Kata beliau, kerajaan harus mengambil semula hak penciptaan kredit yang pada masa ini digunakan oleh bank komersial setiap kali mereka memberi pinjaman.

“Bank daulat patut ditubuhkan di bawah BNM untuk mengambil alih urusan pemberian kredit kepada individu dan peniaga manakala bank komersial hanya mengendalikan urusan transaksi kewangan dan pelaburan.

“Apabila ini dapat dilaksanakan, kerajaan akan dapat mengawal limpahan kredit yang pada masa ini menyebabkan permintaan melebihi penawaran sekali gus mengakibatkan harga barangan sentiasa naik, gaji kekal rendah dan rakyat serta peniaga dibebani hutang yang bertimbun,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Ahmed Razman mengulas laporan Utusan Malaysia berkenaan peningkatan jurang kekayaan yang boleh menggagalkan usaha negara mencapai Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) 2030 seperti yang dilihat dalam isu kenaikan upah eksekutif bank.

Laporan The Malaysian Reserve sebelum itu mendedahkan, sekurang-kurangnya tiga ketua pegawai eksekutif menerima kenaikan upah lebih daripada 10 peratus untuk tahun kewangan 2020 ketika bank masing-masing melaporkan kos overhed yang lebih rendah kerana langkah penjimatan yang dijalankan.

Menurut Ahmed Razman, masalah yang timbul bersifat sistemik dan akan berterusan jika tiada langkah mereformasi sistem dilakukan.

Kata beliau, bank komersial akan terus mengaut keuntungan yang tidak munasabah, gaji ketua eksekutif bertambah tinggi, jurang kekayaan makin melebar, rakyat makin tertekan dan rakyat akan terus kekal dengan bebanan hutang.

Beliau menjelaskan, penubuhan bank daulat akan menghalang bank komersial daripada mengaut keuntungan yang terlalu tinggi sekali gus mengelakkan peningkatan gaji yang terlalu tinggi untuk eksekutif bank.

“Jika bank daulat ditubuhkan dan dikawal oleh kerajaan, mudah untuk kerajaan membuat keputusan memberi moratorium jika pandemik berterusan,” katanya.

-habis-

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya