TNB teroka pasaran tenaga boleh baharu Singapura - Utusan Malaysia

TNB teroka pasaran tenaga boleh baharu Singapura

BAHARIN DIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tenaga Nasional Berhad (TNB) menerusi anak syarikat milik penuhnya, TNB Renewables Sdn. Bhd. telah memeterai binding term sheet bagi kerjasama dengan Sunseap Group berpusat di Singapura.

Kerjasama itu bagi meneroka pasaran tenaga boleh baharu dan Perjanjian Pembelian Tenaga (PPA) Korporat di republik berkenaan.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir. Baharin Din berkata, kerjasama itu adalah pencapaian penting bagi TNB dalam usaha meluaskan jejak mereka dalam bidang tenaga boleh baharu di peringkat antarabangsa, termasuk Asia Tenggara.

Beliau berkata, terkini, portfolio keseluruhan tenaga boleh baharu TNB adalah sebanyak 2,7732.3 megawaatt (MW) di Malaysia (termasuk 2,536.1MW daripada hidro besar) dan 666MW di United Kingdom, Turki dan India yang kebanyakannya melibatkan aset penjanaan tenaga solar, angin dan hidro.

“Ini adalah usaha pertama TNB meneroka pasaran tenaga boleh baharu di Singapura dan Kumpulan akan berada pada kedudukan terbaik bagi memanfaatkan segmen PPA Korporat yang sedang berkembang pesat,” katanya dalam kenyataan semalam.

Menurut Baharin, kerjasama itu antara lain menyasarkan pelanggan strategik seperti syarikat RE100, syarikat multinasional dan data.

Inisiatif itu kata beliau, dijangka akan memacu pertumbuhan permintaan tenaga bersih dan hijau di rantau ini untuk tahun-tahun akan datang.

“Kerjasama ini juga adalah tepat pada masanya, sejajar dengan jangkaan pelancaran tender oleh Pihak Berkuasa Pasaran Tenaga Singapura (EMA) bagi percubaan penyaluran bekalan tenaga rentas sempadan Malaysia-Singapura yang dijangka akan dilancarkan menjelang Mac 2021,” katanya.

Jelas Baharin, kerjasama ini penting bagi mencapai matlamat TNB untuk meluaskan portfolio keseluruhan tenaga boleh baharunya kepada 8,300MW menjelang 2025 (termasuk hidro besar), selari dengan strategi Reimagining TNB untuk memacu perkembangan kapasiti penjanaan tenaga boleh baharu di bawah teras strategik Sumber Penjanaan Masa Depan.

“Berikutan kejayaan pelaburan kami dalam perniagaan tenaga boleh baharu di UK menerusi Vortex Solar dan Tenaga Wind Ventures, kerjasama bersama Sunseap adalah langkah penting bagi meneruskan strategi peluasan penjanaan tenaga boleh baharu di peringkat antarabangsa. 

“Kerjasama ini menyediakan platform yang kukuh dengan keupayaan, kapasiti serta jaringan di rantau ini bagi memacu perkembangan perniagaan tenaga boleh baharu dan utiliti kami di Asia Tenggara,” tambah beliau. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya