TNB sertai pasaran solar Vietnam - Utusan Malaysia

TNB sertai pasaran solar Vietnam

Projek itu te­lah memperoleh Feed-in-Tariff (FiT) menerusi skim FiT2 di Vietnam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tenaga Nasio­nal Berhad (TNB) melalui anak syarikat milik penuhnya, TNB Renewables Sdn. Bhd. akan memperoleh pegangan seba­nyak 39 peratus daripada projek 21.6 megawatt (MW) Sunseap Group dari Singapura melibatkan lima loji solar bumbung di Vietnam.

Perolehan itu hasil kerjasama TNB dengan Sunseap yang menjangkaui kerjasama rentas sempadan Malaysia-Singapura bagi memacu perkembangan pesat di dalam pasaran tenaga boleh baharu (RE) di Vietnam.

Menurut TNB, projek itu te­lah memperoleh Feed-in-Tariff (FiT) menerusi skim FiT2 di Vietnam, bertujuan menggalakkan pelaburan dalam sumber tenaga boleh baharu melalui tarif harga yang menguntungkan dan di atas pasaran.

Jelasnya, setelah mencapai tarikh mula tugas pada Disember lalu, kesemua lima loji kini di bawah Perjanjian Pembe­lian Tenaga (PPA) 20 tahun de­ngan syarikat utiliti milik Vietnam, Vietnam Electricity untuk membekalkan tenaga bersih kepada grid nasional negara ber­kenaan.

Tambahnya, pegangan Sunseap akan berkurangan kepada 51 peratus daripada 90 peratus apabila selesai perolehan 39 peratus saham oleh TNB Renewables, dijadualkan pada suku pertama tahun ini.

Manakala syarikat saham besama Sun Time ENergy yang menjadi pemegang saham projek, akan terus memegang 10 peratus kepentingan ekuiti.

“Perolehan ini menandakan pencapaian penting bagi TNB dalam usahanya meluaskan jejak tenaga boleh baharu pada peringkat antarabangsa ke Asia Tenggara.

“Sebelum perolehan ini, penglibatan penjanaan tenaga boleh baharu TNB pada peringkat global merangkumi portfolio keseluruhan 2,732.3MW di Malaysia (termasuk 2,536.1MW daripada hidro besar) dan 666MW di UK, Turki dan India melibatkan kebanyakan asset penjanaan solar, angin dan hidro.

“TNB berhasrat untuk mengembangkan portfolio tenaga boleh baharunya kepada 8,300MW menjelang 2025 (termasuk hidro besar),” jelasnya dalam kenyataan semalam.

 

BAHARIN DIN

Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir. Baharin Din menyifatkan perolehan itu sebagai satu lagi langkah dalam merealisasikan cita-cita TNB untuk meluaskan perniagaannya dalam tenaga boleh baharu dan utiliti di Asia Tenggara.

“Perolehan ini akan menjadi titik permulaan bagi penglibatan TNB di Vietnam dan seterusnya menceburi pasaran tenaga boleh baharu dan utiliti yang berkembang pesat di Vietnam.

“Perolehan ini bertitik tolak daripada kerjasama rentas sempadan Malaysia-Singapura bersama Sunseap dan ia menjadi bukti komitmen kami untuk mentransformasikan TNB sebagai pemain industri tenaga boleh baharu dan utiliti di rantau ini,” katanya.

Sunseap adalah satu daripada syarikat solar bumbung terkemuka di Asia Tenggara dan syarikat solar terbesar di Singapura dengan perniagaan solar bersepadu sepenuhnya termasuk penglibatan dalam segmen peruncitan tenaga.

Ia mempunyai kapasiti bersih 1.2 gigawatt (GW) di 11 pasaran dan lebih daripada 200 aset pada pelbagai peringkat pembangunan.

Projek solar bumbung 21.6MW terbaharu ini adalah tambahan kepada ladang solar bersakala utiliti 168MW Sunseap yang telah dibina di Vietnam pada 2019. Ia kini sedang membangunkan projek tambahan berkapasiti lebih 650MW di negara berkenaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya