Pemilihan berdasarkan keupayaan kewangan - Utusan Malaysia

Pemilihan berdasarkan keupayaan kewangan

LAKARAN artis pembinaan projek Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP). – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Pemilihan Kumpulan Syarikat ECK (ECK) untuk menyertai usaha sama dengan kerajaan negeri bagi membangunkan Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) bersandarkan kepada keupayaan kewangan syarikat tersebut yang kukuh.

Menurut Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md. Nor, sebelum ini terdapat banyak syarikat yang memohon untuk menyertai usaha sama itu, namun tidak memiliki bukti dana (proof of fund) seperti diperlukan.

“Berbeza dengan ECK, mereka mempunyai dana sebanyak RM1.5 bilion bagi fasa pertama dan RM5 bilion bagi fasa kedua projek KXP itu. Atas dasar itulah ECK dilantik dengan syarat dalam tempoh enam bulan, mereka kena lengkapkan syarikat tujuan khas (SPV).

“Selain itu, mereka juga perlu bayar yuran komitmen berjumlah 120 peratus daripada anggaran kos pengambilan tanah dan mesti melepasi usaha wajar (due diligence) ditetapkan KXP AirportCity Holdings Sdn. Bhd.,” katanya kepada pemberita di sini semalam.

Utusan Malaysia 26 Februari lalu melaporkan kerajaan negeri melantik ECK menyertai usahasama dalam membangunkan projek KXP di Sidam Kiri, Kuala Muda dekat Sungai Petani.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan ECK, pelantikan tersebut menjadikan syarikat itu sebagai rakan strategik projek KXP bermula daripada urusan pembinaan sehingga pentauliahan lapangan terbang itu.

Mengulas dakwaan pihak tertentu yang mendakwa pemilihan ECK meragukan kerana syarikat itu tidak mempunyai pengalaman dalam pembangunan lapangan terbang, Muhammad Sanusi berkata, perkara itu tidak sepatutnya timbul.

“Tiada syarikat yang tiba-tiba berpengalaman dan oleh sebab itu, mereka mesti diberi pengalaman. Dalam dunia sekarang, tidak semestinya tahu semua benda baru boleh buat kerja kerana mereka boleh lantik konsultan atau golongan berpengalaman bekerja untuk kita.

“KXP AirportCity Holdings Sdn. Bhd. yang ditubuhkan di bawah Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK) pun tidak ada pengalaman bina lapangan terbang tetapi tiada siapa pertikaikannya dulu. 

“Disebabkan tiada pengalaman itu, kita lantik individu berpengalaman seperti Tan Sri Jamilus Md. Hussin yang cukup terkenal dalam pembinaan lapangan terbang dalam syarikat itu,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya