PETALING JAYA: Pelan Pembangunan Industri sektor perkhidmatan serta peralatan minyak dan gas (OGSE) Nasional 2021-2030 akan diperkenalkan bagi mendepani peralihan dalam industri minyak dan gas negara agar sektor berkenaan kekal relevan di masa hadapan.
Ia selari dengan peralihan kepada tenaga boleh diperbaharui yang semakin berkembang berikutan sasaran pelepasan karbon sifar menjelang 2050 nanti.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Petroleum Resouces Corporation (MPRC), Mohd. Yazid Ja’afar berkata, pelan pembangunan tersebut merupakan panduan kepada perusahaan OGSE negara ini untuk meneruskan penglibatan mereka dalam industri minyak dan gas negara walaupun berdepan era peralihan.
Ujarnya, sebagai entiti yang memainkan peranan dalam membekalkan data dan maklumat untuk merancang industri minyak dan gas, MPRC telah melengkapkan rangka tindakan dan kini menunggu kelulusan kabinet sebelum ke proses seterusnya.
“Dengan penggunaan solar yang semakin meningkat, industri minyak dan gas dikatakan tidak dapat bertahan lama. Bagaimanapun, peralihan tersebut mungkin mengambil masa 20 ke 30 tahun lagi kerana ia bergantung kepada beberapa perkara seperti persekitaran, komersial dan sosial. Ia tidak akan terjadi dalam waktu yang singkat.
“Oleh itu, kerajaan perlu membekalkan bimbingan kepada sektor OGSE dalam melangkah ke ‘dunia baharu.’ Dunia mungkin beralih kepada tenaga bebas karbon tetapi tiada siapa yang mempersiapkan industri ke arah itu, jadi rangka tindakan ini amat penting bagi memastikan sektor OGSE mampu menongkah arus perubahan,” katanya ketika ditemui, baru-baru ini.
Menurut Mohd. Yazid, dalam tempoh 30 tahun lagi, OGSE akan terus memainkan peranan penting dalam menyokong industri minyak dan gas domestik dan pihaknya akan terus membantu industri dalam tempoh berkenaan.
Jelasnya, apa yang paling utama, pemain industri OGSE perlu terus konsisten dan bersedia untuk melakukan perubahan dalam usaha menyesuaikan diri dalam pasaran manakala perusahaan kecil dan sederhana (PKS) juga perlu lebih maju ke hadapan dan mengikuti peredaran semasa seperti beroperasi menggunakan kaedah digital,” ujarnya.
Sementara itu, Mohd. Yazid memaklumkan setakat November tahun lalu, terdapat 1,563 syarikat OGSE yang berdaftar di bawah Petronas dan MPRC telah melakukan kajian terhadap 100 syarikat OGSE terbaik (OGSE100) bagi mengetengahkan pertumbuhan syarikat dalam industri dan menyediakan rujukan untuk pemain industri, bakal pelabur dan lain-lain pihak berkepentingan.
“Bagi 2019, sektor OGSE mencatat pendapatan sebanyak RM65.1 bilion berbanding RM67.4 bilion tahun sebelumnya. Daripada jumlah tersebut, OGSE100 susut 5.2 peratus kepada RM52.4 bilion daripada RM55.2 bilion pada 2018 manakala syarikat pertengahan dan PKS menunjukkan peningkatan masing-masing 4.1 dan 4.8 peratus.
“Keuntungan sebelum cukai industri pula dilaporkan sebanyak RM1.1 bilion berbanding kerugian RM1.4 bilion tahun sebelumnya. OGSE100 mencatat keuntungan RM574.7 juta berbanding kerugian RM1.9 bilion pada 2018.
“Prestasi sektor minyak dan gas tahun lalu menurun disebabkan impak penularan Covid-19 namun kami menjangkakan sektor akan pulih tahun ini selepas pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan dan pembukaan sempadan negara kelak,” katanya. – UTUSAN










