Malaysia ‘kuat’ birokrasi ? - Utusan Malaysia

Malaysia ‘kuat’ birokrasi ?

Kerajaan yakin bahawa kedudukan Malaysia yang strategik dan ekosistem yang kondusif, berkaitan pelaburan akan terus menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan terpilih di rantau ini.- GAMBAR HIASAN/UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysia masih merupakan lokasi strategik pelaburan asing, namun tarikannya dikatakan tidak setan­ding dengan negara jiran tertentu seperti Vietnam dan Indonesia.

Ini kerana, menurut Penasihat Kanan Pusat Pengajian Pasifik Malaysia, Oh Ei Sun, rintangan birokrasi yang terdapat di Malaysia menyukarkan pelabur asing untuk bertapak lebih lama di negara ini.

“Kekurangan rintangan birokrasi terhadap pelaburan asing di negara-negara luar yang lain seperti Vietnam dan Indonesia membolehkan mereka beralih dari (membuat) pelaburan di Malaysia.

“Mereka (negara jiran) menawarkan kemudahan proses permohonan lesen untuk membuka dan mengendalikan kilang dan bisnes (lebih mudah) di negara-negara tersebut,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Baru-baru ini, Persidangan dan Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNCTAD) melaporkan, Malaysia melihat kejatuhan ketara pengaliran masuk pelaburan langsung asing ( FDI) bagi 2020 sebanyak 68 peratus kepada AS$2.5 bili­on (RM10.37 bilion) berbanding lima negara ASEAN yang lain.

Selain itu, banyak syarikat auto­motif dilaporkan berhenti melabur dalam beberapa projek automotif di negara ini walaupun kenderaan generasi baharu (NxGV), kenderaan hubung kait automatik dan berautonomi (AACV) dan kenderaan cekap tenaga (EEV) termasuk dalam Dasar Automotif Negara (NAP) 2020.

Di samping itu, pengumuman syarikat teknologi besar untuk membina ibu pejabat serantau di negara-negara jiran berbanding di Malaysia seperti Apple dan Samsung memilih Vietnam untuk kilang pembuatannya, manakala Amazon akan membina tiga pusat data di Jawa Barat, Indonesia pada akhir 2021 dan awal 2022.

Ei Sun berkata, pemindahan kilang dari Malaysia menjadi semakin kerap kebelangkangan ini kerana negara jiran mempunyai pasaran domestik sangat besar serta tenaga buruh yang ramai.

“Tenaga kerja yang muda dan ramai serta kesudian mereka menerima gaji yang lebih rendah tetapi masih memiliki sikap pekerjaan yang serius, rajin dan berproduktiviti tinggi adalah sangat diperlukan,” ujarnya.

Sementara itu, Dekan Fakulti Ekonomi dan Muamalat (FEM) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof. Dr. Muhammad Ridhwan Ab. Aziz berpendapat, situasi politik semasa turut menyumbang kepada pekemba­ngan berkenaan.

Katanya, pertimbangan pelabur luar tentulah kestabilan pentadbiran negara kerana ketidakstabilan politik boleh mengundang perubahan dasar dan polisi yang boleh memberi kesan negatif bagi pengoperasian mereka.

“Apabila kestabilan politik, polisi dan dasar lebih menarik ditawarkan negara jiran, maka tentunya pelabur luar merangka strategi baharu termasuk memindahkan operasi ke negara lain terutama bagi mengurangkan kos operasi.

“Kerajaan perlu menimbangkan insentif baharu kepada pelabur-pelabur asing di sam­ping memperkenalkan dasar bagi mempergiat industri tempatan dimajukan serta dapat menjadi alternatif kepada pelaburan luar,” katanya.

Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid pula berkata, kerajaan perlu lebih memahami pelabur asing termasuklah menukar undang-undang  lebih mesra perniagaan seperti yang dilakukan Indonesia pada tahun lalu yang dikenali sebagai “Omnibus Law”.

Katanya, keutamaan Malaysia sebenarnya adalah menarik penubuhan ibu pejabat rantau Asia kepada syarikat-syarikat gergasi dunia (MNC) di negara ini, termasuklah bahagian penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang memungkinkan pelaburan asing membawa teknologi tinggi ke Malaysia.

“Ini berikutan kesesuaian Malaysia dengan kesediaan pekerja yang berkemahiran tinggi, infrastruktur berkelas dunia, kepelbagaian budaya dan bahasa memberikan kekuatan unik.

“Negara kita perlu fokus kepada sektor teknologi seperti keselamatan siber, pengkomputeran awan (cloud computing), farmaseutikal, kimia, pembuatan barangan perubatan dan keselamatan yang memerlukan pengeluaran berlandaskan teknologi tinggi,” katanya. – UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×