Khazanah labur untuk peluang baharu - Utusan Malaysia

Khazanah labur untuk peluang baharu

Khazanah melepaskan SilTerra dan wang hasil penjualan digunakan untuk pelaburan dalam bidang ekonomi baharu seperti bioteknologi, tenaga boleh dibaharui (RE) atau bidang lain yang mustahak untuk ekonomi negara.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penjualan aset oleh Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) dibuat atas pertimbangan pelaburan bagi memastikan syarikat itu boleh terus menyumbang kepada perkembangan ekonomi negara secara jangka masa panjang.

Pengarah Urusannya, Datuk Shahril Ridza Ridzuan berkata, perkara tersebut sentiasa di­bincangkan oleh Khazanah bersama kerajaan bagi memastikan pelaburan-pelaburannya dapat membuka peluang ekonomi baharu kepada negara.

Kata beliau, berbeza dengan agensi kerajaan yang menerima suntikan dana setiap tahun, Khazanah perlu mengitar semula pelaburannya bagi menghasilkan dana baharu untuk dilaburkan dalam sektor ekonomi yang bermanfaat kepada negara.

“Adakah lebih mustahak untuk kita melabur dalam bidang yang baharu untuk membuka peluang baharu atau memegang yang lama? Persoalan ini memang sedang kita bincangkan dengan kerajaan kerana jika Khazanah mahu membuat pelaburan yang besar dalam bidang baharu, kita memerlukan dana yang baharu.

“Sama ada kerajaan beri dana kepada kita atau kita lepaskan apa yang lama supaya dana itu boleh digunakan untuk membuat pelaburan baharu.

“Pandangan kita, mungkin tidak munasabah untuk terus memegang yang lama jika ia tidak memberikan peluang baharu kepada ekonomi,” katanya.

Beliau berkata dalam sesi temu bual eksklusif bersama Utusan Malaysia di Mercu UEM, dekat sini baru-baru ini.

Shahril Ridza mengambil contoh syarikat SilTerra Sdn. Bhd. yang dilepaskan kepada Dagang Nexchange Berhad (DNeX) untuk membuka peluang pelaburan baharu.

Kata beliau, wang hasil penjualan SilTerra akan digunakan untuk pelaburan dalam bidang ekonomi baharu seperti bioteknologi, tenaga boleh dibaharui (RE) atau bidang lain yang mustahak untuk ekonomi negara.

“Jika kita tidak melepaskan yang lama untuk menjana dana baharu, kita tiada peluang untuk melabur.

“Kita boleh lihat peluang itu tetapi jika tiada dana, bagaimana?,” katanya.

Menurut Shahril Ridza, amalan mengitar semula pelaburan yang dilakukan Khazanah mendatangkan hasil seperti yang dapat dilihat dalam laporan tahunan syarikat itu untuk dua tahun kebelakangan ini.

“Pada 2019, kita menjana kira-kira RM7 bilion keuntungan. Pada 2020, walaupun menanggung rosot nilai akibat pandemik sehingga RM5 bilion, kita masih menjana hampir RM3 bilion.

“Ini daripada aktiviti pela­buran, mengitar semula dana yang ada dari segi dividen dan keuntungan penjualan aset serta pembelian aset baharu.

“Ia membantu kita untuk masih menjana keuntungan yang baik dan memberikan kita peluang memberikan dividen yang tinggi kerajaan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×