Keuntungan TH lebih tinggi - Utusan Malaysia

Keuntungan TH lebih tinggi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Agih keuntungan selepas zakat 3.1 peratus tahun ini

PETALING JAYA: Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) meng­umumkan agihan keuntungan selepas zakat untuk tahun kewangan 2020 sebanyak 3.1 peratus, lebih tinggi berbanding agihan tahun sebelumnya pada 3.05 peratus.

Menurut Tabung Haji, agihan tersebut melibatkan jumlah sebanyak RM2.24 bilion kepada sembilan juta pendepositnya, lebih tinggi berbanding RM2.14 bilion pada 2019.

Selain itu, jumlah deposit lembaga itu turut mencapai paras tertinggi dalam sejarah pada RM76.7 bilion yang mencerminkan keyakinan pendeposit terhadap Tabung Haji kekal utuh.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri berkata, pihaknya bersyu­kur dengan prestasi kewangan Tabung Haji pada 2020 yang kekal positif meskipun persekitaran ekonomi negara dan dunia berada dalam keadaan tidak menentu sejak penghujung 2019 akibat pandemik Covid-19.

“Alhamdulillah, pendeposit Tabung Haji dapat menikmati keuntungan yang lebih baik bagi 2020 walaupun berhadapan ekonomi yang kurang baik.

“Sebagai institusi yang memegang amanah mengurus hampir RM77 bilion deposit umat Islam Malaysia, Tabung Haji akan terus memastikan dana ini dilaburkan dengan selamat agar kekal mampan,” katanya dalam kenyataan dekat sini semalam.

Tabung Haji turut memaklumkan, pihaknya telah melunaskan pembayaran zakat sebanyak RM106.2 juta bagi 2020 berbanding RM86 juta pada 2019.

Sehubungan itu, katanya, para pendeposit tidak perlu lagi membayar zakat ke atas wang simpanan dan agihan keuntungan yang diterima oleh mereka.

“Pembayaran zakat ini akan memberi manfaat kepada golongan asnaf yang memerlukan di seluruh negara,” katanya.

Sementara itu, berkenaan ibadat haji, Zulkifli berkata, sehingga kini kerajaan Arab Saudi masih belum mengeluarkan kenyataan rasmi tentang musim haji 2021 walaupun telah menerima kira-kira 100,000 jemaah umrah sejak 1 November tahun lalu.

“Walaupun masih belum mendapat pengesahan tentang ibadat haji tahun ini, kita perlu bersedia dengan segala kemungkinan.

“Oleh itu, saya menasihati semua bakal haji untuk mengikuti kursus asas haji mingguan yang sedang dianjurkan Tabung Haji secara dalam talian,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya