He & She bina empayar - Utusan Malaysia

He & She bina empayar

HE & SHE menyasarkan untuk mempunyai 30 cawangan menjelang tahun hadapan. – UTUSAN/ SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

INSPIRASI NIAGA

Pertama kali mendengar namanya, He & She, terlintas di fikiran jenama ini pasti dari Barat.

Andaian itu bagaimanapun meleset kerana He & She sebenarnya diasaskan oleh anak tempatan, Zulkiflee Yusof, 47, yang berasal dari Bagan Datok, Perak.

Kemunculan He & She bakal menyaingi jenama lain yang sudah lama bertapak dalam industri makanan dan minuman (F&B) dalam negara yang selama ini dikuasai oleh jenama luar.

Manakan tidak, bermula dengan sebuah kafe atas nama He & She Coffee diasaskan pada 2019, jenama terbabit kini sudah mempunyai 11 rangkaian di seluruh negara terutamanya di Lembah Klang.

 

ZULKIFLEE YUSOF

Malah, Zulkiflee yang juga Ketua Pegawai Eksekutif syarikat itu menyasarkan untuk membuka sembilan lagi cawangan tahun ini dan tambahan 10 lagi cawangan menjelang pertengahan 2022.

Menariknya, jenama ini memulakan langkah di sebuah pusat pengajian tinggi bagi mencetuskan kelainan kepada persekitaran institusi keilmuan yang sinonim dengan suasana ‘stress’, ‘remote’, tanpa ‘lifestyle’ minum dan sembang di kafe dalam kampus.

Mengakui bukan mudah untuk memulakan langkah sulung itu, lebih-lebih lagi ia menggunakan modal sendiri, Zulkiflee berjaya membuktikan kebenaran pepatah, “kalau tidak dipecah ruyung manakan dapat sagunya.”

Sebagai seorang akauntan bertauliah, Zulkiflee juga pernah berkecimpung di dalam bidang F&B bersama seorang rakan kongsi, dan ilmu yang dimiliki membantu beliau mengatur strategi untuk kejayaan He & She.

Hasilnya, graduan perakaunan daripada Universiti Utara Malaysia (UUM) ini boleh mengukir senyuman apabila jenama He & She semakin menarik perhatian banyak pihak untuk menjalin kerjasama secara francais.

“Alhamdulillah, selepas hampir dua tahun, jenama He & She ini saya nampak hasil atau impaknya. Jenama ini sudah mula berkembang dan dikenali. Bisnes dalam kampus memberi peluang untuk bangunkan sebuah jenama baharu yang pada saya, kalau kita tidak guna kaedah ini mungkin ambil masa lebih lama.

“(Nak masuk) kampus tidak mudah, babit pengurusan universiti untuk menerima idea-idea baharu dan perlukan modal yang besar. Nak yakinkan pasukan saya pun bukan mudah.

“Tetapi, apa yang saya tekankan adalah penjenamaan. Saya melihat kampus satu tempat dan platform terbaik untuk kembangkan idea ini. Sebelum kami keluar, jenama He & She telahpun dibawa keluar (oleh pelajar-pelajar universiti yang kerap mengunjungi He & She semasa di kampus dan berkongsi pengalaman di media sosial).

“Kami meletakkan sebuah entiti perniagaan yang ‘real’ di kampus dan para pelajar boleh melihat dan merasai sendiri. Saya menggalakkan setiap (rangkaian) di universiti itu dikuasai oleh pelajar itu sendiri. Apa yang kami dapat, kami pulangkan semula ke universiti,” katanya kepada Utusan Malaysia, baru-baru ini.

Menganggap status He & She masih ‘bayi’ dalam industri, lantaran itu fokus beliau buat masa ini adalah menempatkan jenama itu dalam pasaran yang dianggap ‘selamat’ dan kurang persaingan, iaitu pusat pengajian tinggi awam dan swasta, bagi membina kekuatannya terlebih dahulu.

Buat masa ini, He & She antaranya berada di UUM, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Universiti Malaya (UM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Gambang dan Universiti Teknologi Petronas (UTP).

Bagi melebarkan lagi empayar jenama He & She, perkembangan secara organik, fokus dan bersasar menjadi keutamaan Zulkiflee.

“Kita sangat memilih dan ada alasan untuk berada di sesetengah tempat,” katanya yang turut memberitahu, modal pembukaan sesebuah rangkaian antara RM150,000 hingga RM400,000.

Seperti dirancang, pembangunan fasa kedua He & She untuk ke pasaran terbuka bermula dengan tertubuhnya rangkaian di hospital dan syarikat korporat. Antaranya, di Hospital KPJ Tawakal, Jalan Pahang dan SME Bank di Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur.

“Selepas kampus, kita pilih hospital kerana ini jenama baharu dan kita kena ‘belai’ dia dahulu. Saya kena ‘protect’ dia, saya kena letakkan dia dalam pasaran yang selamat. Hospital sama seperti kampus yang terkawal, ia juga ada pasaran yang tersendiri, tidak perlu bersaing,” jelas Zulkiflee.

Beliau pada masa sama mengakui, He & She jenama yang berpotensi berkembang, tidak boleh selamanya berada di zon selamat dan akan ke dunia luar, termasuk pasaran global setelah mencapai tahap matang dan memiliki kekuatan sendiri.

Ketika ini, tiga daripada rangkaian yang ada dimiliki oleh syarikat, manakala selebihnya dibangunkan oleh usahawan melalui sistem francais yang merupakan aspirasi He & She untuk membantu membangunkan bakat-bakat muda dan usahawan bumiputera.

“Buat masa sekarang 100 peratus usahawan yang membuka rangkaian He & She adalah melalui modal sendiri, belum ada yang ambil pinjaman bank,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×