Celcom peruntuk perbelanjaan modal RM1 bilion 2021 - Utusan Malaysia

Celcom peruntuk perbelanjaan modal RM1 bilion 2021

IDHAM NAWAWI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Celcom Axiata Berhad (Celcom) menyasarkan untuk mempertingkat kapasiti rangkaian, mengurangkan kesesakan trafik rangkaian dan menambah baik liputan 4G di seluruh negara dengan komitmen perbelanjaan modal (capex) sehingga RM1 bilion, tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Idham Nawawi berkata, pelaburan itu untuk menyokong aspirasi Jalinan Digital Negara (Jendela) selain meneruskan momentum dalam memacu pelaburan rangkaiannya bagi mengoptimumkan pengalaman rangkaian dan perkhidmatan.

“Gergasi telekomunikasi (telco) akan memberi tumpuan untuk meningkatkan liputan LTE Generasi Keempat (4G) kepada 95.6 peratus, memberikan pengalaman video definisi tinggi yang konsisten, meningkatkan liputan dalam ruangan dan menawarkan perkhidmatan panggilan suara LTE (VoLTE).

“Celcom akan terus melabur dalam menyebarkan teknologi end-to-end terkini seperti 4T4R multi-input dan multi-output (MIMO), agregasi pembawa, 256 Quadrature Amplitude Modulation (QAM) dan banyak lagi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

4T4R adalah mod penghantaran dan penerimaan untuk stesen pangkalan, dengan empat antena pemancar dan empat penerima.

Tambah beliau, mengenai 5G, Celcom bersedia untuk berkongsi kepakarannya, dengan mengambil kira pengalaman luas selama 33 tahun dalam pengurusan rangkaian.

“Telco sedang menunggu lebih banyak maklumat mengenai penyebaran rangkaian 5G yang dijangka sebelum akhir tahun ini oleh Syarikat Bertujuan Khas Kerajaan Malaysia (GOMSPV),” ujarnya.

Dalam pada itu, Idham memaklumkan, prestasi Celcom pada suku keempat 2020 mencatat pertumbuhan positif secara keseluruhan, dengan peningkatan suku ke suku dari segi pelanggan, pendapatan, kos, keuntungan dan bahagian pasaran, serta hasil dari fokus berterusannya terhadap kecemerlangan operasi dan pengurusan kos.

“Pendapatan meningkat 2.7 peratus kepada RM1.62 bilion pada suku terakhir 2020 daripada RM1.58 bilion pada suku ketiga, tetapi lebih rendah berbanding RM1.72 bilion yang dicatatkan pada suku terakhir 2019.

“Untuk tahun kewangan 2020 (TK20), pendapatan Celcom merosot kepada RM6.23 bilion daripada RM6.71 bilion tahun sebelumnya,” jelasnya.

Telco ini juga menyaksikan momentum pasaran yang kuat pada separuh kedua tahun lalu dengan pertumbuhan 306,000 tahun ke tahun dari segi asas keseluruhan pelanggannya.

Sehingga kini, rangkaian Celcom kekal sebagai rangkaian terluas di negara ini dengan lebih dari 11,500 laman web di seluruh negara dan membekalkan perkhidmatan kepada lebih 13 juta pengguna. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya