TNB pasang sejuta meter pintar - Utusan Malaysia

TNB pasang sejuta meter pintar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tenaga Nasional Berhad (TNB) telah memasang sejuta meter pintar di Me­laka dan Lembah Klang, dengan menyasarkan untuk memasang lebih banyak meter berkenaan sepanjang tahun ini.

Menurut TNB, ia merupakan pencapaian penting sejak pemasangan meter pintar dilaksanakan empat tahun lalu di negeri berkenaan.

Pemasangan meter tersebut adalah sebahagian daripada inisiatif kerajaan bertujuan menambahbaik kehidupan pengguna melalui penyediaan akses, ketelusan dan kawalan lebih baik terhadap penggunaan tenaga harian.

Ketua Pegawai Rangkaian Pembahagian TNB, Datuk Ir. Baharin Din berkata, beliau berbangga dengan kemajuan yang dicapai selaras dengan sasaran pemasangan 1.5 juta unit meter pintar menjelang penghujung tahun ini.

Beliau berkata, pelanggan merupakan faktor terbesar yang memainkan peranan penting terhadap kejayaan pemasangan meter pintar di seluruh negara.

“Bagi 2021, kami berharap dapat melihat lebih ramai pelanggan mengambil bahagian memantau kehidupan mereka menerusi penggunaan meter pintar, membuat pilihan cekap tenaga untuk mereka dan negara keseluruhannya, untuk masa depan yang lebih hijau dan tenaga lebih lestari,” katanya dalam kenyataan semalam.

Dalam pada itu, Baharin berkata, TNB merekodkan peningkatan jumlah pengguna myTNB yang ketara daripada 1.4 juta kepada 4.7 juta, peningkatan 236 peratus dari Disember 2019 hingga Disember tahun lalu.

Jelasnya, platform myTNB membolehkan pemilik rumah menyemak dan membayar bil mereka secara digital.

“Sejajar dengan penambahbaikan ciri-ciri myTNB yang berterusan bagi memperkasa pelanggan pada bila-bila masa dan di mana jua, pengumuman sekatan keluar masuk di seluruh negara awal tahun ini telah membantu lebih ramai rakyat Malaysia untuk memanfaat platform digital ini bagi mengurus akaun dan penggunaan tenaga mereka.

“Pengguna digalakkan memuat turun dan menggunakan aplikasi atau melayari portal myTNB bagi menyemak dan membayar bil bulanan mereka. Pengguna yang mempunyai meter pintar di kediaman dapat memantau penggunaan elektrik harian mereka,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya