Industri vape bernilai RM2.27 bilion - Utusan Malaysia

Industri vape bernilai RM2.27 bilion

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ramai yang tidak mengetahui bahawa industri vape di negara ini dianggarkan bernilai RM2.27 bilion.

Berdasarkan kajian yang dijalankan oleh Green Zebras, agensi penyelidikan pasaran yang dilantik Dewan Perniagaan Vape Malaysia (DPVM), terdapat lebih 3,300 perniagaan yang terlibat secara langsung dalam industri vape dengan tenaga kerja lebih 15,000 orang, sebahagian besar golongan muda di bawah 30 tahun.

Kajian itu menunjukkan, pekerja dalam industri berkenaan dibayar gaji mencecah RM450 juta pada 2019.

Melihat kepada nilainya yang besar, justeru DPVM menyeru kerajaan memperkenalkan peraturan sewajarnya untuk mencipta kesan pengganda positif ke atas ekonomi negara.

Presiden DPVM, Syed Azaudin Syed Ahmad berkata, data tersebut jelas menunjukkan bahawa vape merupakan industri yang berdaya maju dan semakin berkembang di Malaysia dan boleh memberikan sumbangan besar kepada ekonomi tempatan.

“Industri ini telah menggalakkan perkembangan usahawan tempatan di mana ramai terdiri daripada peniaga tempatan dan bumiputera.

“Di samping itu, industri vape Malaysia buat masa ini mempunyai ekosistem mampan terdiri daripada pengeluar, pengimport dan peruncit, rangkaian pengedar dan logistik tempatan,” kata beliau dalam satu kenyataan.

Menurut Syed Azaudin, kerajaan telah mengumumkan cukai eksais ke atas peranti vape dan e-cecair yang dilaksanakan sejak 1 Januari lalu.

Kata beliau, DPVM percaya bahawa sistem percukaian itu perlu diperluaskan untuk merangkumi e-cecair mengandungi nikotin yang meliputi 97 peratus daripada pasaran Malaysia untuk memberikan sumbangan berkesan kepada hasil kerajaan.

“Industri vape Malaysia mempunyai potensi besar yang boleh dimanfaatkan dengan peraturan praktikal dan komprehensif yang perlu merangkumi e-cecair bernikotin. Langkah ini
akan merangsang pertumbuhan PKS yang seterusnya membuka peluang pekerjaan dan menjana hasil cukai bagi kerajaan,” katanya.

Syed Azaudin berkata, walaupun sektor lain menghadapi cabaran untuk menarik pelaburan, Malaysia berada pada kedudukan yang kukuh untuk menarik pelaburan langsung asing (FDI) ke dalam sektor berkenaan.

“DPVM percaya sektor vape sudah bersedia dan mampu menarik FDI berkualiti berlandaskan ekosistem mapan yang boleh menarik pelaburan global dan syarikat multinasional,” tambah beliau.

Menurut kajian Green Zebras, sebahagian besar tenaga kerja dalam industri vape adalah golongan dewasa muda di bawah 30 tahun dan kebanyakannya berbangsa Melayu.

Terdapat 1.12 juta pengguna vape di negara ini, dengan 94 peratus pengguna pernah merokok dan sebab utama mereka memilih vape adalah sebagai kaedah untuk berhenti merokok.

Kajian itu juga merujuk penemuan Public Health England, sebuah agensi kesihatan kerajaan di United Kingdom yang menerbitkan bukti-bukti daripada pakar-pakar kesihatan mendapati, vape 95 peratus kurang mudarat berbanding merokok.

Dalam pada itu, kajian terbaharu yang dikendalikan oleh Grand View Research Inc. menunjukkan, pasaran e-rokok dan vape global dijangka mencecah AS$67.31 bilion (RM272.54 bilion) menjelang 2027, dengan kadar pertumbuhan terkompaun tahunan bagi hasil sebanyak 23.8 peratus dari 2020 hingga 2027. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.