Ekonomi 2020 dijangka menguncup 'lebih parah' - Utusan Malaysia

Ekonomi 2020 dijangka menguncup ‘lebih parah’

PAKAR ekonomi melihat keperluan untuk kerajaan memfokus kepada pemulihan ekonomi dengan melaksanakan pelbagai projek infrastruktur yang mampu memberi limpahan ekonomi kepada masyarakat. – UTUSAN/YULPISMAN ASLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Prestasi ekonomi Malaysia dijangka berhadapan penguncupan lebih tinggi dalam suku keempat dan keseluruhan tahun lalu mengambil kira pandemik Covid-19 yang masih `menghantui’ negara.

Sebagai rekod, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia berkembang perlahan pada kadar 0.7 peratus pada suku pertama 2020 sebelum mencatatkan pertumbuhan terendah sejak suku keempat 1998 apabila menguncup tinggi sehingga 17.1 peratus dalam suku kedua ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Walau bagaimanapun, kedudukan ekonomi menunjukkan pemulihan apabila hanya menguncup 2.7 peratus dalam suku ketiga tetapi PKP Bersyarat (PKPB) yang dilaksanakan di beberapa buah negeri pada bulan Oktober dijangka memberi impak negatif kepada prestasi KDNK.

Menurut Ahli Ekonomi CGS-CIMB Research, Michelle Chia, KDNK keseluruhan tahun lalu diunjurkan berada pada kadar penguncupan 5.7 peratus tahun lalu berbanding ramalan awal iaitu menguncup lima peratus.

Bagi suku keempat 2020 pula, Michelle meramalkan ekonomi negara menyusut empat peratus.

Beliau berkata, CGS-CIMB turut menyemak turun KDNK tahun ini kepada lima peratus berbanding ramalan 7.5 peratus sebelum ini.

“Semakan semula ini dilakukan selepas mengambil kira pelaksanaan PKP 2.0 dan perubahan yang menyaksikan lebih banyak sektor ekonomi dibuka semula tetapi di bawah prosedur operasi standard (SOP) ketat sehingga Mac 2021.

“Semakan semula menurun ini juga mencerminkan tekanan pendapatan isi rumah dan pasaran buruh.

“Situasi ini mungkin menyaksikan Bank Negara Malaysia (BNM) mengurangkan kadar dasar semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas pada separuh pertama 2021,” katanya dalam nota penyelidikan semalam.

Gabenor BNM, Datuk Nor Shamsiah Mohd. Yunus dan Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin dijangka membentangkan prestasi KDNK suku keempat dan keseluruhan 2020 Malaysia hari ini.

Mengulas lanjut, Michelle memberitahu, pelaksanaan PKPB pada 4 Oktober lalu turut dijangka mempengaruhi pemulihan dengan indeks isipadu perkhidmatan kekal pada kadar 0.3 peratus suku ke suku pada suku keempat selepas melonjak sebanyak 24.4 peratus pada suku ketiga 2020.

Beliau berkata, penurunan itu sangat ketara dalam sektor perdagangan runcit, restoran dan penginapan, pengangkutan, perkhidmatan perniagaan dan perkhidmatan lain kerana kebanyakan pengguna mengambil langkah berjaga-jaga. – UTUSAN

KDNK 2020
———-
Suku 1: 0.7%
Suku 2: -17.1%
Suku 3: -2.7%
Suku 4: ?

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya