Trend pasaran digital 2021 - Utusan Malaysia

Trend pasaran digital 2021

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Berdasarkan perkongsian seminar dan forum berkaitan pembangunan digital banyak menekankan, tahun 2021 adalah tahun transformasi pasaran. Ia disebabkan rantaian perubahan trend dan algoritma hasil pengembangan digital termasuk impak krisis Covid-19 yang melanda dunia.

Antara lain bermaksud, 2021 adalah permulaan pengembangan digital pada skala yang lebih pantas dan meluas berbanding tahun-tahun sebelumnya. Pelbagai sektor industri akan menerima kesan cabaran pasaran dan persaingan industri, serta turut memberi impak kepada kepentingan kerjaya, perniagaan serta cara bermasyarakat.

Terdapat perkembangan asas yang perlu kita sedar sebagai persediaan demi memanfaatkan potensi pengembangan teknologi digital dan perubahan trend pasaran 2021 ini. Secara dasar ada empat pengaruh utama yang akan terus berkembang pesat;

Pemerkasaan Kecerdasan Buatan (AI)
Kecerdasan Buatan (AI) dalam teknologi dunia telah berjaya memasuki fasa baharu. Perkara ini telah pun disuarakan oleh Hanson Robotics, sebuah syarikat pembuatan dan pengeluar teknologi AI. dengan kejayaan penciptaan robot bernama Sophia pada 2015.
Sophia adalah robot AI pertama yang dinobat innovation champion oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan telah dianugerahkan taraf kerakyatan oleh kerajaan Arab Saudi. Sehingga kini, teknologi AI telah melepasi peringkat penciptaan sistem robotik yang fleksibel sebagai pemangkin utama kemajuan industri di seluruh dunia.

Pengembangan Algoritma Enjin Carian

Teknologi maklumat ju­ga terus berkembang hasil pemerkasaan AI dan dimanfaatkan oleh pembangun enjin carian dalam penambahbaikan jaringan sistem digital merangkumi pengurusan data dan pembangunan kandungan, aplikasi dan peranti.
Perubahan algoritma enjin carian seperti Google antara yang memberi kesan yang besar. Penambahbaikan ciri-ciri optimasi carian dan user experience serta pengubahan polisi terhadap sistem Google AMP dalam mengurus pencarian maklumat dengan lebih sistematik, merangkumi Voice Search dan local SEO turut mempengaruhi algoritma pasaran sedunia.

Penyusunan Platform Digital
2021 juga merupakan tahun pengukuhan bagi pembangun platform digital dunia merangkumi peranan laman sesawang, e-dagang dan media sosial dengan konteks yang lebih fokus. Pengguna laman sesawang CMS WP telah meningkat daripada 28% kepada 34%, manakala platform media sosial seperti Facebook, Twitter dan Instagram mahukan penumpuan konteks kandungan bersifat komuniti dan LinkedIn untuk pembangunan kerjaya.
Selain itu, penambahbaikan polisi standard community oleh pemilik platform enjin carian dan media sosial juga turut menjelaskan kepentingan kos perkhidmatan data pelanggan yang perlu dibayar oleh perniagaan bagi tujuan pemasaran dalam talian yang bersasar.

Pemantapan Prasarana Revolusi Industri 4.0
Komitmen negara dalam memperkasa prasarana Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0) juga adalah impak rantaian kemajuan digital di seluruh dunia.Sumbangan sektor e-dagang kepada ekonomi Malaysia yang terus meningkat akan menjadi pendorong utama ekonomi digital menjelang 2021.
Malaysia juga akan terus memperkasa prasarana digital dengan pelbagai inisiatif baharu kepada usahawan tempatan serta menarik lebih banyak pelaburan strategik peneraju industri global.
Secara tidak langsung, pengetahuan dan kemahiran digital menjadi syarat penting yang diperlukan dalam pasaran pekerjaan termasuk bagi setiap pengusaha untuk meningkatkan produktiviti yang kos efektif dengan daya saing yang lebih mampan.

Justeru itu, empat elemen ini merupakan antara penumpuan penting oleh peneraju dan pemain industri digital di peringkat tempatan mahupun global. Tahun 2021 menjadi gerbang dalam memanfaatkan pengembangan digital dan perubahan trend pasaran bagi menjayakan apa jua aspirasi keusahawanan. Setiap platform dan saluran digital ada potensi untuk dimanfaatkan sepenuhnya.

Penulis adalah perunding pemasaran bertauliah dan pakar pemasaran digital. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN