KUALA LUMPUR: Pelaksanaan pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (Permai) disifatkan tepat pada masanya bagi mengurangkan beban sektor perniagaan dan pekerjaan semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika ini.
Menurut Ketua Ekonomi Pusat Kajian Pasaran Buruh Masa Hadapan EIS-UPMCS, Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), Prof. Madya Dr. Mohd. Yusof Saari, ia penting bagi memastikan golongan peniaga, pekerja dan isi rumah bersedia dengan kemungkinan tempoh PKP dilanjutkan.
Beliau berkata, Permai juga akan mengurangkan beban akibat pelaksanaan PKP yang menyebabkan sektor ekonomi bergerak lebih perlahan.
Katanya, pemulihan jangka panjang memerlukan kepada pembukaan keseluruhan sektor ekonomi.
“Penting bagi kerajaan memastikan pakej ini inklusif kepada semua rakyat, contohnya golongan pekerja tidak formal perlu diambil perhatian kerana mereka tidak mendapat manfaat Program Subsidi Upah (PSU) 3.0.
“Begitu juga golongan isi rumah yang menyewa rumah, moratorium pula hanya kepada pemilik rumah. Jadi, bagaimana mereka ini boleh mendapat manfaat moratorium,” ujarnya kepada Utusan Malaysia semalam.
Beliau mengulas pelaksanaan Permai yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin kelmarin untuk menambah baik inisiatif sedia ada yang masih berterusan dan mempercepat pelaksanaan inisiatif berkaitan.
Sebanyak 22 inisiatif di bawah Permai berteraskan tiga matlamat utama iaitu memerangi wabak Covid-19, memelihara kebajikan rakyat dan menyokong kelangsungan perniagaan.
Mengulas lanjut, Mohd. Yusof berkata, jika fokus kepada isi rumah dan pengguna, terdapat inisiatif yang dipercepat pelaksanaannya dan pengumuman inisiatif baharu yang kedua-duanya menyokong perbelanjaan dan pendapatan isi rumah serta pekerja.
Mohd. Yusof memberitahu, pelaksanaan bayaran Bantuan Prihatin Nasional (BPN) dan Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) yang dipercepatkan adalah langkah baik untuk menyokong perbelanjaan isi rumah semasa tempoh PKP.
“Program Bakul Makanan pula adalah program baharu yang dijangka dapat mengurangkan beban perbelanjaan isi rumah yang terkesan.
“Kedua, PSU 3.0 amat baik bagi mengekalkan pekerjaan dan pendapatan pekerja apatah lagi selepas PSU 1.0 dan 2.0 telah memberi manfaat lebih daripada tiga juta pekerja,” katanya. – UTUSAN










