Penggabungan Gojek, Tokopedia bernilai AS$18 bilion - Utusan Malaysia

Penggabungan Gojek, Tokopedia bernilai AS$18 bilion

Gojek merupakan antara pengangkutan awam popular di Indonesia. Syarikat itu dalam usaha untuk bergabung dengan perintis e-datang PT Tokopedia, sekali gus mendominasi pasaran tempatan. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JAKARTA: Syarikat gergasi pembayaran dan e-hailing Indonesia, Gojek dilaporkan sedang mengadakan perbincangan lanjut untuk bergabung dengan perintis e-dagang, PT Tokopedia membabitkan tawaran awam permulaan (IPO) yang dirancang entiti gabungan.

Menurut laporan Bloomberg memetik sumber, dua syarikat permulaan paling berharga di Indonesia itu telah menandatangani terma terperinci untuk me­laksanakan usaha wajar masing-masing.

Kedua-dua syarikat tersebut melihat sinergi berpotensi dan berminat untuk memeterai perjanjian secepat mungkin dalam beberapa bulan akan datang.

Entiti gabungan itu akan mewujudkan sebuah syarikat internet besar Indonesia dengan nilai gabungan melebihi AS$18 bilion (RM72.21 bilion).

Perniagaan entiti gabungan itu terdiri daripada e-hailing dan pembayaran kepada beli-belah serta penghantaran dalam talian sama seperti Uber Technologies Inc., PayPal Holdings Inc., Amazon.Com Inc. dan DoorDash Inc. dengan rancangan untuk disenaraikan di Amerika Syarikat (AS) dan Indonesia.

Gojek dan Tokopedia telah mempertimbangkan penggabungan sejak 2018 tetapi perbincangan telah disegerakan selepas perjanjian kesepakatan antara Gojek dengan pesaing terdekatnya, Grab Holdings Inc. menemui jalan buntu.

Ketua Pegawai Eksekutif Grab, Anthony Tan berulang kali menjelaskan bahawa tekanan daripada Ketua Pegawai Eksekutif SoftBank Group Corp., Masayoshi Son supaya melepaskan beberapa kawalan dalam entiti gabungan dengan Gojek.

Dua syarikat permulaan ter­kenal Asia Tenggara iaitu Gojek dan Grab yang bernilai AS$25 bilion (RM100.21 bilion) itu mengadakan perbincangan untuk bergabung setelah bersaing selama bertahun-tahun dalam e-hailing, penghantaran makanan dan teknologi kewangan.

Walau bagaimanapun, wakil Gojek dan Tokopedia enggan memberikan komen berhubung rancangan penggabungan tersebut.

Syarikat tersebut yang masing-masing bernilai antara AS$10.5 bilion (RM42.09 bilion) dan AS$7.5 bilion (RM30.06 bilion) sedang berbincang nisbah penggabungan, kata sumber berkenaan.

Pengasas kedua-dua syarikat itu telah berkawan sejak penubuhannya lebih 10 tahun lalu dan menjangkakan hubungan yang lebih akrab.

Gabungan antara Gojek dan Tokopedia akan mendominasi Indonesia iaitu satu daripada ekonomi internet paling pesat berkembang di dunia.

Rancangan penyenaraian di AS akan memberi alternatif kepada pelabur global kepada Sea Ltd., iaitu satu-satunya syarikat internet Asia Tenggara yang tersenarai di AS. Saham syarikat itu meningkat hampir 400 peratus tahun lalu dipacu oleh pertumbuhan populariti platform permainan mudah alih dan beli-belah dalam talian. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.