PDB tawar produk sejuk beku - Utusan Malaysia

PDB tawar produk sejuk beku

Alexander Nanta Linggi (kiri), Ronald Kiandee (dua kanan) pada majlis pelancaran program Segar @ Mesra di stesen minyak Petronas Prima Saujana 2 Kajang, semalam.– utusan/FAUZI BAHARUDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Petronas Dagangan Berhad (PDB) dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) melancarkan program Segar@Mesra di Kedai Mesra Petronas.

Menerusi kerjasama tersebut, orang ramai boleh mendapatkan produk-produk segar beku khususnya bagi produk tempatan termasuk sayur-sayuran, ternakan, hasil laut dan buah-buahan pada harga yang berpatutan.

Menurut Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif PDB, Azrul Osman Rani, untuk fasa percubaan, empat buah stesen Kedai Mesra Petronas telah dipilih iaitu di Unikeb 2, Seksyen 4, Bandar Baru Bangi; Persiaran Jaya/Sungai Ramal Dalam; Prima Saujana 2, Kajang dan Pelangi Semenyih.

Katanya, kesemua stesen tersebut dipilih secara strategik berdasarkan kepada profil persekitaran komuniti yang disasarkan terutamanya golongan isi rumah berpendapatan sederhana (M40) dan rendah (B40).

Beliau berkata, buat masa ini, terdapat kira-kira 46 unit simpanan stok (SKU) ditawarkan termasuk sayur, buah, ikan dan ayam pada harga jualan kompetitif.

“Kita akan bekerjasama dengan pihak KPDNHEP dan MAFI sama ada untuk menambah bilangan SKU pada masa hadapan tetapi itu semua akan dianalisis berdasarkan permintaan.

“Program ini membuka peluang bukan hanya kepada Petronas untuk turut sama membantu petani dan penternak memasarkan produk mereka, malah buat rakyat Malaysia amnya menyokong industri pertanian tempatan,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran Segar@Mesra di Stesen Petronas Prima Saujana 2, Kajang dekat sini semalam.

Hadir sama menyempurnakan majlis tersebut ialah Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi serta Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Ronald Kiandee.

Mengulas lanjut, Azrul tidak menolak kemungkinan untuk meluaskan lagi program tersebut ke lebih 750 Kedai Mesra Petronas seluruh negara sekiranya memperoleh permintaan menggalakkan pelanggan.

“Sekarang ini cara kita beroperasi adalah mendengar kemahuan pelanggan. Kita akan lihat kepada permintaan kerana program ini baru dilancarkan. Sekiranya menggalakkan, kita akan lihat kepada sasaran untuk memperluaskan ke Kedai Mesra lain,” katanya.

Dalam pada itu, Alexander berkata, program tersebut merupakan satu kerjasama strategik antara dua buah kementerian yang mengawal selia produk dan keperluan asas penduduk serta PDB yang mempunyai akses kepada pemasaran bahan keperluan asas.

Beliau berkata, kementeriannya berhasrat mewujudkan ekosistem perdagangan dalam negeri yang lebih efisien melalui sumbangan daripada pengeluar meliputi petani, nelayan dan penternak sekali gus dapat memendekkan rantaian bekalan serta dapat menjana pendapatan lebih kepada golongan tersebut.

“Melalui kerjasama ini, saya yakin ia akan dapat membantu merealisasikan visi KPDNHEP bagi memperkasa sektor ekonomi domestik dan pada masa sama, melindungi kepentingan pengguna di Malaysia,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya