Malaysia kesal tindakan AS - Utusan Malaysia

Malaysia kesal tindakan AS

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi kesal tindakan Amerika Syarikat (AS) menyekat kemasukan minyak sawit dari negara ini.

Menterinya, Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali berkata, pihaknya mengambil maklum langkah drastik yang dikenakan oleh pentadbiran Presiden Donald Trump semalam.

“Tindakan itu juga dibuat tanpa merujuk kerajaan Malaysia berhubung kesahihan dakwaan konon wujud penggunaan buruh paksa dalam industri tersebut,” katanya menerusi kenyataan.

Beliau menyifatkan insiden kali ini tidak mengejutkan kerajaan kerana perkara sama pernah dilakukan ke atas FGV Holdings Berhad atas dakwaan serupa dan disangkal syarikat itu.

Ia juga tidak memberi kesan besar ke atas prestasi FGV, bahkan kerajaan AS sendiri pertimbang petisyen untuk pembatalan Perintah Tahanan Pelepasan (WRO) ke atas syarikat tersebut.

“Dalam isu terbaharu melibatkan Sime Darby Plantation Berhad (SDP), kementerian yakin pihak AS juga akan bantah dan menolak dakwaan tidak berasas ini,” kata Mohd. Khairuddin.

Namun ujarnya, Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan (CBP) di AS sememangnya berhak mengeluarkan WRO ke atas eksport oleh mana-mana pihak ke negara berkenaan.

Bagaimanapun tegasnya, kementerian tidak bersetuju tindakan tanpa memberi peluang kepada syarikat itu terlebih dahulu membuktikan dakwaan tersebut tidak benar.

Beliau menambah, isu buruh paksa dan kanak-kanak di sektor perladangan sawit negara pernah berlaku tetapi kes itu amat terpencil berdasarkan kajian dilaksanakan pada 2018.

Hasil penyelidikan itu telah diserah kepada Kedutaan AS di Kuala Lumpur awal bulan lepas dan menurut kajian berkenaan, kerajaan Malaysia juga sentiasa memantau perkara tersebut.

“Ini termasuk memberi peringatan kepada pihak industri agar lebih bertanggungjawab dan tidak terlibat dalam isu yang boleh jejas ekonomi negara sendiri,” jelas Mohd. Khairuddin lagi.

Kerajaan katanya, mengulangi komited jika benar tuduhan dibuat pihak CBP, tindakan wajar dan tegas akan diambil ke atas syarikat yang terlibat dalam isu buruh paksa berkenaan.

Sementara itu, SDP sedang meneliti siaran akhbar yang dikeluarkan Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan (CBP) Amerika Syarikat (AS).

Menurut SDP, pihaknya mahu melihat kemungkinan kesan dihadapi daripada WRO yang dikeluarkan.

Katanya, siaran akhbar itu tidak memberi maklumat mencukupi untuk membolehkan SDP menangani dakwaan tersebut secara bermakna.

Rundingan Meja Bulat Minyak Sawit Lestari (RSPO) pula telah menjalankan siasatan segera dakwaan CBP terhadap SDP.

RSPO dalam satu kenyataan mengesahkan, tinjauan awal berhubung penemuan audit awal tahun lalu tidak mengandungi apa-apa kecurigaan terhadap operasi SDP.

Katanya, RSPO bergantung kepada juruaudit bebas untuk mengesan pelanggaran yang didakwa berlaku.

Sehingga kini, tiada pelanggaran dikesan di mana-mana ladang SDP yang diperakui. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya