MUKADIMAH
Taiwan merupakan sebuah negara yang terkenal dengan inovasi reka bentuk sekali gus mendorong pembangunan industri dan pertumbuhan ekonomi negara berkenaan.
Kini, melalui Institut Penyelidikan Reka Bentuk Taiwan (TDRI), negara berkenaan mahu meluaskan pengaruhnya menerusi jalinan kerjasama dengan Malaysia sebagai satu usaha menghasilkan inovasi reka bentuk terkini.
Ikuti temu bual wartawan Utusan Malaysia, SHAFIQAH SHUKOR bersama Presiden TDRI, CHANG CHI-YI mengenai prospek pelaburan agensi tersebut di Malaysia dan bagaimana ia mampu membantu Malaysia melonjakkan inovasi reka bentuk.

UTUSAN MALAYSIA: Apakah prospek dan kelebihan yang dimiliki TDRI dalam menghasilkan inovasi reka bentuk?
CHANG CHI-YI: Oleh kerana sebahagian besar penduduk dunia menganggap perusahaan dari Taiwan sebagai pengeluar, kami ingin TDRI dikenali sebagai pereka atau pengembang reka bentuk.
Kami ingin memanfaatkan kekuatan Taiwan dalam reka bentuk untuk mendorong pembangunan industri dan pertumbuhan ekonomi.
Visi kami adalah untuk meningkatkan daya saing Taiwan di pentas global bagi memupuk pembangunan sosial dan industri yang mampan serta meningkatkan gaya hidup rakyat melalui inovasi dalam reka bentuk.
Antara objektif kami ialah untuk meningkatkan pengaruh reka bentuk melalui kerjasama bidang pelbagai pengajian bidang, memberi platform inovasi reka bentuk untuk orang muda selain membangunkan institusi ini menjadi pusat penyelidikan dan reka bentuk berkelas dunia.
Apakah faktor utama yang membuat anda ingin melabur di Malaysia? Adakah ini masa yang sesuai dan tepat untuk memulakan institusi di Malaysia?
Dengan bantuan kerajaan, banyak perniagaan di Taiwan telah berpindah ke pasaran di bahagian selatan negara sejak tahun 1990.
Pelaksanaan Dasar Baharu ke Selatan pada tahun 2015 hingga kini membuktikan kerajaan kami yakin terhadap pasaran di selatan dan prospek masa depan di situ.
Bagi tahun ini, susulan pandemik Covid-19 yang menyerang dunia dan meninggalkan kesan yang buruk kepada perniagaan Malaysia, TDRI ingin memberi sokongan kepada perniagaan Malaysia dengan menyediakan pilihan reka bentuk bagi membantu perusahaan di negara itu pulih daripada impak negatif wabak tersebut.
Bidang apakah yang TDRI mahu kembangkan dan kuasai?
Antara bidang yang kami ingin kuasai ialah reka bentuk laman web dan antara muka. Di era digital ini banyak perniagaan bergantung kepada laman web untuk menyampaikan maklumat kepada pengguna.
Jika laman web dan antara muka direka dengan baik, ia mampu memberi keyakinan kepada pengguna terhadap sesuatu perniagaan.
Menurut, tinjauan yang dilakukan oleh Tyton Media, 48 peratus responden berpendapat reka bentuk laman web perniagaan adalah faktor utama dalam menentukan kredibilitinya.
Sementara itu, menurut kajian Carleton University di Ottawa, Kanada pula, 50 saat pertama pengguna membuka sesebuah laman web mampu memberi impak yang kuat.
Selain itu, kami ingin menguasai reka bentuk yang mampan kerana semakin ramai orang sedar akan kepentingan konsep reka bentuk sebegitu sekarang. Kebanyakan perniagaan kini berusaha untuk mengurangkan kesan negatif terhadap alam sekitar sambil mewujudkan persekitaran yang produktif.
Akhir sekali, kami ingin menambah baik reka bentuk jenama dan pakej buat pengguna. Berdasarkan kajian daripada syarikat penjenamaan Siegel + Gale, reka bentuk logo yang senang diingati, lebih cenderung untuk menarik perhatian pengguna serta membuat mereka ingin mengetahui lebih tentang jenama itu.
Bagaimana anda merancang untuk bersaing dengan pesaing yang lain?
Kami lihat, banyak perniagaan tidak mahu melabur dalam bidang reka bentuk kerana mereka tidak sedar akan kepentingannya. Kajian membuktikan bahawa reka bentuk memainkan peranan yang penting dalam pertumbuhan sebuah perniagaan.
Di era digital ini, perniagaan boleh memanfaatkan kekuatan dan potensi reka bentuk ke tahap maksimum.
Kami percaya, TDRI mampu mengeluarkan idea reka bentuk yang menarik bagi membantu syarikat di luar sana menambah baik reka bentuk penjenamaan mereka.
Saya percaya dengan perkhidmatan dan perundingan reka bentuk yang kami tawarkan merupakan cara terbaik untuk bersaing dengan pesaing yang lain.
Apakah rancangan anda dan apa yang anda sedang lakukan sekarang?
Disebabkan pandemik Covid-19 yang menyerang dunia, kami kini sedang berusaha untuk mencegah wabak tersebut dengan menambah baik peralatan yang ada di hospital.
Oleh itu, tahun ini, TDRI banyak membuat reka bentuk mempromosikan penjagaan kesihatan. Kami juga berpeluang membantu membina wad pencegahan pintar, MAC WARD, bersama Fu Jen Catholic University Hospital yang merupakan antara hospital pendidikan terkemuka di Taiwan.
Model yang berasaskan pemasangan cepat dan mudah alih itu sangat memudahkan, jadi kami ingin berkongsi model ini kepada seluruh dunia untuk membangunkan semula pelbagai jenis alatan di hospital.
Mampukah TDRI menyesuaikan diri dengan budaya di Malaysia?
Kami sedar kemampuan untuk menyesuaikan diri dengan budaya tempatan adalah sangat penting untuk memasuki pasaran. Kami lebih tertumpu kepada perkhidmatan, reka bentuk dan tenaga yang kami tawarkan untuk syarikat tempatan di Malaysia.
Oleh itu, kami ingin mengetahui lebih lanjut tentang apa yang diperlukan oleh syarikat tempatan di Malaysia. Antara usaha yang kami akan lakukan ialah mengadakan sesi pemadanan perniagaan, salun reka bentuk, forum dan sebagainya. Kami akan mengambil peluang yang ada untuk berbincang dan memahami syarikat tempatan di Malaysia. – UTUSAN










