Eksport sawit dijangka RM70 bilion - Utusan Malaysia

Eksport sawit dijangka RM70 bilion

Minyak dan produk sawit terus menerima permintaan tinggi di pasaran global di sebalik pelbagai kempen negatif dijalankan pihak tertentu. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Nilai eksport produk sawit dan minyak sawit negara diunjurkan berkembang melebihi RM70 bilion tahun lalu berbanding RM67.5 bilion yang dicatatkan pada tahun 2019.

Sebagai sektor penting kepada ekonomi Malaysia, Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali menyifatkan pencapaian itu adalah memberangsangkan mengambil kira pelbagai cabaran terpaksa ditempuh sepanjang tahun 2020.

Beliau malah menjelaskan ia bukan sahaja menguntungkan negara melalui perolehan import tinggi tetapi juga memberi manfaat besar kepada pekebun kecil.

Menyedari kepentingan industri berkenaan, beliau berkata kerajaan bertindak segera melaksanakan dasar untuk menangani pelbagai isu yang mungkin memberi kesan kepada perkembangan industri sawit.

Sebagai contoh, katanya, kerajaan telah memberikan insentif seperti penangguhan duti eksport minyak sawit mentah sejak Jun 2020 bagi mengelakkan gangguan permintaan.

“Kita telah melihat hasil positif daripada langkah ini menerusi peningkatan jumlah eksport minyak sawit secara signifikan sejak bulan Jun.

“Saya yakin Malaysia bukan sahaja mampu pulih daripada cabaran ini tetapi akan menjadi lebih kukuh daripada sebelum ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama dan merasmikan Seminar & Pameran Perdagangan Minyak Sawit (POTS) 2021 secara maya, semalam.

Mengulas lanjut, Mohd. Khairuddin turut berkeyakinan bahawa permintaan minyak dan lemak global dijangka kembali pulih tahun ini walaupun berhadapan dengan pandemik Co­vid-19 memandangkan banyak ekonomi telah dibuka semula.

Beliau berkata, sebagai minyak yang paling banyak dihasilkan pada harga paling kompetitif, minyak sawit bersedia menghadapi cabaran dengan tidak hanya memberikan pilihan berpatutan tetapi pilihan sihat untuk memenuhi permintaan.

“Walaupun ekonomi global 2021 dijangka pulih pada kadar yang perlahan berbanding tahun-tahun sebelum ini, namun ia tidak akan menyekat penggunaan minyak dan lemak global.

“Kami akan terus bersaing dengan peneraju lain bagi mengekalkan status sebagai peneraju pasaran,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya