ECERDC tarik pelaburan RM9.7 bilion tahun lalu - Utusan Malaysia

ECERDC tarik pelaburan RM9.7 bilion tahun lalu

Baidzawi Che Mat (kiri) bersama pegawai Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur mengadakan mesyuarat secara maya dipengerusikan oleh Muhyiddin Yassin, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) berjaya menarik pelaburan komited dan direalisasikan berjumlah RM9.7 bilion di Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) tahun lalu, meskipun berdepan cabaran berikutan pandemik Covid-19.

Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC, Baidzawi Che Mat berkata, pelanjutan insentif bagi pelaburan ke ECER oleh kerajaan Persekutuan untuk tempoh dua tahun sehingga 31 Disember 2022, menjadi perangsang utama dalam menarik pelaburan baharu dan mengembalikan momentum ekonomi di wilayah berkenaan.

Beliau berkata, antara insentif di bawah Pakej Insentif ECER adalah pengecualian cukai pendapatan, elaun cukai pelaburan, potongan bagi pelaburan dalam sektor pertanian dan pengecualian duti setem untuk aktiviti-aktiviti yang dipromosikan.

ECERDC katanya, akan memanfaatkan lanjutan insentif itu untuk menggiatkan promosi ECER sebagai destinasi pelaburan bagi menarik lebih banyak pelaburan yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

“ECERDC masih menge­kalkan sasaran untuk mencapai pelaburan swasta baharu bernilai RM70 bilion menjelang 2025, seperti yang digariskan di dalam Pelan Induk ECER 2.0 (EMP2.0) melainkan kemelesetan ekonomi global akibat pandemik Covid-19 berpanjangan.

“Kami yakin akan dapat mengembalikan momentum dengan pelanjutan insentif kerajaan. Dalam pada kami meneruskan promosi untuk menarik pelaburan baharu ke ECER, projek-projek dan program-program berimpak tinggi yang digariskan di dalam EMP2.0 akan terus dilaksanakan,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.

Beliau sebelum itu mengha­diri mesyuarat Majlis ECERDC dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Mesyuarat tersebut yang diadakan secara maya dari beberapa lokasi dihadiri oleh Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob; Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar; Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Menteri Besar Johor, Datuk Ir. Hasni Mohammad.

Hadir sama, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Menteri Kewa­ngan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.