Belanjawan 2021 tidak cukup? - Utusan Malaysia

Belanjawan 2021 tidak cukup?

Sebagai negara berpenduduk sederhana, syarikat-syarikat Malaysia memerlukan pasaran yang lebih luas untuk berkembang. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Belanjawan 2021 yang dibentangkan kerajaan November lalu tidak mengambil kira kemungkinan kes jangkitan Covid-19 meningkat semula dan pemulihan akan terbantut akibat kemerosotan berulang kali.

Sejak Mac lalu, peruntukan perbelanjaan juga tidak mencukupi untuk membantu semua golongan utama yang terkesan seperti buruh upahan dan peniaga kecil-kecilan atau mikro.

Di samping itu, perancangan serta peruntukan perlu untuk menjana semula ekonomi negara juga sudah ‘parah.’ Sektor tertentu tidak dapat pulih dalam masa terdekat, memandangkan perubahan mendalam dalam ekonomi antarabangsa yang banyak mempengaruhi peluang ekonomi negara.

Felo Akademi Sains Malaysia, Profesor Emeritus Jomo Kwame Sundaram berkata, kerajaan perlu mengambil langkah segera bagi menyediakan landasan pemulihan untuk ekonomi sebelum situasi semasa semakin parah.

“Belanjawan itu tidak cukup peka terhadap nasib beberapa golongan terpinggir dan tidak bersiap sedia untuk satu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) baharu seperti telah berlaku.

“Akibatnya, walaupun dikatakan ramalan untuk pemulihan ekonomi tahun ini baik dan berbentuk V, tetapi kini kita dalam bentuk W. Yang teruk sekali, kalau kita tidak pulih, (keadaan berubah kepada) corak kadar pertumbuhan berbentuk W yang terbalik, semacam M.

“Kalau kita alami kemerosotan sekali lagi, dan tidak ambil langkah yang sesuai, kemerosotan boleh berlarutan menjadi kemelesetan yang berterusan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas komennya dalam forum maya Ekonomi PKP Darurat: Buka Atau Tutup? yang disiarkan dalam laman Facebook DialektikaTV Sabtu lalu.

Menurut beliau, dua golongan yang patut diberi perhatian oleh kerajaan adalah golongan yang bekerja mendapat upah harian serta peniaga secara kecil-kecilan.

“Bantuan daripada kerajaan seperti Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) memang ada sampai, tetapi tidak mencukupi dan bukan kepada semua mangsa. Ada juga golongan yang sepatutnya dapat lebih, tetapi tidak dapat,” katanya.

Jomo turut menegaskan, penyampaian maklumat yang berkesan oleh kerajaan serta kerjasama seluruh komponen kerajaan sangat penting untuk mengawal pandemik yang berlaku ketika ini.

Beliau mengambil contoh beberapa buah negara seperti Vietnam dan provinsi Kerala di India yang walaupun jauh lebih miskin daripada Malaysia, namun mampu membantu semua golongan mangsa pandemik.

“Di sini, menteri berjumpa setiap minggu, tetapi penyelarasan tidak memuaskan. Malah, ramai yang persoalkan prestasi kerajaan walaupun jemaah menterinya yang terbesar, seperti tangan kiri tidak tahu apa yang tangan kanan buat.

“Kita lihat pengalaman di negara lain di Asia Timur. Kebanyakan langkah yang diambil lebih berkesan dan langkah seperti PKP tidak dikenakan. Kita terlalu banyak rujuk ke Barat, sedangkan prestasi negara miskin seperti Vietnam, Laos dan Kerala jauh lebih baik berbanding Amerika Syarikat (AS) dan United Kingdom (UK). Sepatutnya kita belajar daripada mereka,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN