Untung bersih Ambank RM237.32 juta - Utusan Malaysia

Untung bersih Ambank RM237.32 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: AMMB Holdings Bhd. (AmBank Group) mencatatkan penurunan keuntungan bersih sebanyak 25.74 peratus kepada RM237.32 juta dalam suku kedua berakhir 30 September 2020 daripada RM319.57 juta dalam tempoh sama tahun lalu.

Keputusan itu juga menyaksikan kejatuhan 35 peratus keuntungan bersih AmBank berbanding RM365.17 yang dicatatkan pada suku pertama berakhir 30 Jun 2020.

Perolehan AmBank turut susut kira-kira 8.94 peratus kepada RM2.14 bilion pada suku kedua tahun ini daripada RM2.35 bilion dalam suku kedua berakhir 30 September 2019.

Sulaiman Mohd. Tahir

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AmBank, Datuk Sulaiman Mohd. Tahir berkata, peningkatan semula kes Co­vid-19 baru-baru ini menjadikan ketidaktentuan sekali gus memburukkan lagi kedudukan ekonomi dan menimbulkan cabaran terhadap proses pemulihan.

Disebabkan itu, Sulaiman berkata, AmBank telah menambah peruntukan RM205 juta untuk mengukuhkan peruntukan sedia ada dalam suku kedua tahun kewangan 2021 menjadikannya berjumlah RM1.74 bilion dalam kunci kira-kira syarikat tersebut.

Beliau berkata, ia telah meningkatkan liputan kerugian pinjaman Kumpulan kepada 99.9 peratus dan meningkatkan rizab kredit di sebalik risiko disebabkan pandemik.

“Walaupun berhadapan krisis kesihatan dan makroekonomi dalam separuh pertama tahun kewangan 2021, saya gembira apabila Kumpulan telah memberikan hasil memberangsangkan dengan pertumbuhan pendapatan dan keuntungan sebelum peruntukan masing-masing meningkat 5.3 peratus dan 9.8 peratus.

“Keuntungan bersih Kumpulan pada separuh pertama berjumlah RM602.5 juta hasil daripada peruntukan makro tambahan yang telah dilaksanakan tidak termasuk kerugian pengubahsuaian bersih dan peruntukan makro pre-emptive,” katanya dalam kenyataan semalam.

Pada masa yang sama, Sulaiman memberitahu, sejajar dengan usaha berterusan AmBank menyokong perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta rakyat Malaysia yang terkesan dengan Covid-19, institusi perbankan itu telah melanjutkan Program Bantuan Pembayaran Balik bersasar sehingga Jun 2021.

Beliau berkata, sejak bermulanya penularan pandemik Covid-19, AmBank telah memberikan bantuan pembayaran balik untuk pinjaman dan pembiayaan berjumlah sekitar RM11 bilion.

“Lanjutan bantuan ini bertujuan membantu pelanggan kami yang terkesan sama ada kehilangan pekerjaan atau menghadapi pengurangan pendapatan akibat wabak tersebut.

“Setakat pertengahan Oktober 2020, kami telah memproses lebih daripada 60,000 permohonan dan meluluskan hampir 100 peratus permohonan tersebut,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya