KUANTAN: Disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan pada 18 Mac lalu ekoran penularan wabak Covid-19, pasaran minyak enjin, Cesoil milik sepenuhnya Melayu dan bumiputera terpaksa juga ditangguhkan.
Biarpun proses penghasilannya telah pun bermula pada 2018, namun produk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan itu dijadualkan diperkenalkan secara meluas ke pasaran seluruh negara bermula awal tahun ini.
Namun apakan daya, pandemik yang melanda negara dan seluruh dunia itu menghentikan sementara usaha berkenaan yang mana ketika ini Cesoil hanya dipasarkan sekitar Kuala Lumpur, Terengganu dan Kuantan di negeri ini.
Berkongsi tentang produk keluaran bumiputera itu, Pegawai Pembangunan Perniagaan Cesoil, Kamal Arifin Mat Yasin berkata, minyak enjin berkenaan menggunakan 100 peratus teknologi dan dibangunkan hasil usaha warga tempatan sendiri.
Jelasnya, Cesoil adalah minyak enjin jenis teknologi nano yang mengandungi molekul berbentuk bucky-ball atau bebola bearing.
“Teknologi ini adalah satu formula sempurna dan tercanggih untuk meningkatkan prestasi enjin, penjimatan bahan api (petrol dan diesel) dan mengurang geseran pada enjin.
“Selain itu, Cesoil juga memanjangkan jangka hayat penukaran minyak enjin sehingga 20,000 kilometer (KM),” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di kilang Cesoil di Indera Mahkota di sini.
Kamal Arifin berkata, penghasilan Cesoil pada ketika ini 100 peratus dilakukan secara manual dan minyak enjin ini dihasilkan berdasarkan kepada permintaan.
“Kita buat berdasarkan permintaan, tetapi 1,000 botol akan sentiasa ada stok, jika ada tempahan lebih kita akan tambah. Ini kerana pasaran sekarang begitu perlahan kesan Covid-19.
“Orang masih belum kenal Cesoil dan dalam masa sama pengguna pada ketika ini tiada kuasa membeli dan rata-rata masih berhati-hati kerana tidak tahu bila pandemik ini akan berakhir,” jelasnya.
Sehubungan itu beliau berkata, pihaknya menjangkakan produk berkenaan akan mula dijual secara meluas di pasaran tempatan bermula tahun depan.
“Sekarang kita juga sedang mereka bentuk mesin baharu yang 100 peratus automatik. Ia sedang dalam peringkat rekaan oleh anak tempatan.
“Oleh itu kita jangka, bermula pertengahan tahun depan kita akan boost minyak ini dan akan masuk ke pasaran seluruh negara, Insya-Allah,” katanya.
Beliau berkata, pada tahun depan juga, pihaknya akan membuka bengkel kenderaan sendiri yang khas untuk pengguna minyak enjin Cesoil.
“Semua jenis kenderaan boleh menggunakan minyak enjin teknologi nano ini,” katanya. – UTUSAN










