Sarawak terima habuan besar - Utusan Malaysia

Sarawak terima habuan besar

PERJANJIAN dengan Petronas akan menyaksikan Sarawak menerima bahagian pendapatan lebih tinggi untuk minyak dan gas ditemui di negeri itu. –GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Selepas menerima RM2.96 bilion dalam bentuk cukai jualan dan perkhidmatan (SST) daripada Petroliam Nasional Berhad (Petronas) September lalu, Sarawak sekali lagi memperoleh habuan hasil minyak dan gas.

Kali ini, ia diperoleh melalui perjanjian dengan Petronas yang menyaksikan negeri terbesar di Malaysia itu bakal menerima bahagian pendapatan lebih tinggi untuk minyak dan gas yang ditemui di negeri itu.

Perjanjian yang berkuat kuasa semalam itu turut memastikan penglibatan yang lebih aktif Sarawak dalam industri minyak dan gas melalui pengurusan sumber minyak dan gas darat oleh Petroleum Sarawak Berhad (Petros) dan pelaburan syarikat itu dalam usaha niaga huluan di kawasan pesisir pantai.

“Kedua-dua kerajaan negeri Sarawak dan Petronas yang meneruskan peranannya sebagai syarikat minyak negara, terus komited untuk bekerjasama membina dan mengekalkan persekitaran perniagaan dan pelaburan yang stabil serta kondusif demi pertumbuhan industri minyak dan gas yang mampan, baik secara huluan atau hiliran di Sarawak.

“Demi mencapai tujuan tersebut, perjanjian itu menyediakan rangka kerja perunding yang mana kedua-dua pihak boleh menyertai perbincangan dan mempertimbangkan perkara penting berkenaan industri minyak dan gas, termasuk perkara yang memberi kesan kepada kepentingan kerajaan negeri,” demikian menurut satu kenyataan yang dikeluarkan semalam.

Kenyataan tersebut dikeluarkan secara bersama oleh kerajaan negeri Sarawak yang diwakili Setiausaha Negerinya, Datuk Jaul Samion dan Petronas yang diwakili Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz.

Sementara itu, Tengku Muhammad Taufik dalam ucapannya ketika Majlis Tanda Tangan Perjanjian Penyelesaian Komersial antara Petronas dengan kerajaan negeri Sarawak di Hotel Hilton, Kuala Lumpur semalam menyifatkan perjanjian itu sebagai bukti komitmen Petronas untuk bekerjasama dengan kerajaan negeri Sarawak untuk membangunkan Petros.

“Perjanjian yang ditandatangani hari ini menjadi bukti aspirasi yang kami pegang bersama. Di pihak kami, Petronas terus komited untuk membangunkan dan memperkukuh kemampanan jangka panjang industri minyak dan gas Malaysia.

“Sebagai rakan kongsi tenaga dan penyelesaian progresif yang memperkaya kehidupan untuk masa hadapan yang lestari, Petronas akan terus menyokong aspirasi kerajaan negeri Sarawak dalam membangunkan industri demi kebaikan untuk rakyat Sarawak dan negara,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya