RM500,000 modal kerja PKS - Utusan Malaysia

RM500,000 modal kerja PKS

BNM menaikkan OPR sebanyak 25 mata asas lagi dalam usaha mengekang kenaikan inflasi. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang layak boleh mendapatkan pembiayaan sehingga RM500,000 bagi tujuan modal kerja untuk tempoh tujuh tahun termasuk moratorium sekurang-kurangnya selama enam bulan.

Bank Negara Malaysia (BNM) dalam kenyataan berkata, ia merupakan dana tambahan bagi PKS terjejas akibat Covid-19 di bawah Kemudahan Bantuan dan Pemulihan Bersasar (TRRF) seperti yang diumumkan dalam pembentangan Belanjawan 2021 oleh Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, baru-baru ini.

Menurut BNM, kemudahan pinjaman bernilai RM2 bilion itu adalah untuk membantu PKS yang layak dalam sektor perkhidmatan dengan ia ditawarkan pada kadar sehingga 3.5 peratus setahun dan boleh diperoleh melalui 21 institusi kewangan peserta.

BNM memberitahu, kemudahan tersebut juga merangkumi perlindungan jaminan oleh Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP) atau Credit Guarantee Corporation (CGC).

“Kemudahan ini tersedia sehingga 31 Disember 2021 atau setelah peruntukan digunakan sepenuhnya mengikut proses mana lebih awal.

“PKS yang merupakan pene­rima kemudahan bantuan khas (SRF); pembiayaan pelancongan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) iaitu PTF dan pembiayaan PKS Penjana (PSF) tidak layak memohon TRRF.

“Bagi PKS dalam subsektor perkhidmatan pelancongan dan perkhidmatan berkaitan pelancongan, bantuan terus tersedia di bawah PTF,” katanya dalam kenyataan tersebut.

BNM memberitahu, satu lagi kemudahan yang tersedia adalah melibatkan kemudahaan perusahaan mikro (MEF) dengan jumlah peruntukan telah ditambah nilai daripada RM300 juta kepada RM410 juta, baki peruntukan tersedia adalah sebanyak RM200 juta.

Katanya, kemudahan MEF itu telah ditambah baik untuk meningkatkan akses perusahaan mikro kepada kredit yang merangkumi individu yang bekerja sendiri, pekerja sambilan (gig workers) yang menggunakan platform digital dan peserta program iTEKAD.

“Perusahaan mikro yang layak boleh mendapatkan pembiayaan untuk tujuan modal kerja dan perbelanjaan modal sehingga RM50,000 dengan kadar pembiayaan akan ditetapkan oleh institusi kewangan peserta.

“Untuk kemudahan ini, institusi kewangan peserta juga boleh mendapatkan perlindungan jaminan daripada CGC atau SJPP,” katanya.

PKS yang berminat me­ngenai TRRF boleh memohon terus kepada institusi kewangan peserta yang terdiri daripada bank-bank perdagangan, bank-bank Islam dan institusi kewangan pembangunan yang dikawal selia oleh BNM menerusi laman sesawang atau melawat cawangan-cawangan institusi kewangan peserta.

Bagi kemudahan MEF, perusahaan mikro yang berminat boleh memohon terus kepada institusi kewangan peserta di bawah Skim Pembiayaan Mikro.

Butiran mengenai kemudahan teknologi tinggi (HTF) akan diumumkan pada 15 Disember depan.

Orang ramai boleh menghubungi BNMTELELINK bagi mendapatkan khidmat nasihat dan bantuan penyelesaian untuk sebarang isu yang mungkin dihadapi dengan bank pada waktu mencabar ini melalui [email protected] atau 1-300-88-5465. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya