MySalam beri perlindungan percuma - Utusan Malaysia

MySalam beri perlindungan percuma

Kakitangan mySalam bersama penerima manfaat skim mySalam di Pulau Pinang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Pandemik Covid-19 yang melanda dunia telah menyebabkan orang ramai lebih cenderung memberi perhatian kepada kesihatan diri.

Khalayak ramai semakin sedar akan kepentingan melanggan takaful sebagai jaminan kesihatan sekiranya berlaku kecemasan yang berkait dengan perihal kesihatan.

Bagaimanapun, masih ada golongan yang tidak mampu melanggan takaful berbayar. Justeru, kerajaan telah memperkenalkan skim Perlindungan Kesihatan Masyarakat (mySalam) untuk manfaat penerima bantuan sara hidup (BSH).

Skim tersebut merupakan inisiatif takaful pelindungan kesihatan percuma yang memberi perlindungan kepada individu yang layak menerimannya melalui Tabung Amanah mySalam.

Perlindungan yang disediakan oleh mySalam itu disasarkan kepada golongan B40, yang telah membantu kira-kira 80,000 rakyat Malaysia sejak 2019.

Keadaan sekeliling telah mendorong peningkatan tuntutan sebanyak 648 peratus daripada 18,945 tuntutan pada 2019 kepada 141,732 tahun ini membabitkan jumlah keseluruhan bayaran RM104,553,150.

Khairul Anuar Che Yeop

Ketua Bahagian Skim mySalam, Khairul Anuar Che Yeop berkata, data tersebut menunjukkan peningkatan yang ketara walaupun ia tidak mencapai sasaran awal iaitu sebanyak RM200 juta.

“Namun, ia tetap merupakan satu peningkatan yang mendadak dan kami mengalu-alukan mereka yang layak iaitu golongan berumur 18 hingga 65, untuk membuat semakan dengan mySalam. Hanya kira-kira 1.2 juta daripada lebih 5.7 juta penerima yang layak menerima skim ini telah membuat semakan dengan mySalam.

“Masih ramai lagi yang layak untuk menuntut tetapi tidak berbuat demikian kerana mempunyai salah anggapan terhadap skim berkenaan yang dikatakan mengenakan bayaran.

“Orang ramai tidak perlu risau kerana skim mySalam adalah percuma buat semua penerima BSH yang layak membuat tuntutan di bawah skim itu,” katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.

Ujar beliau, bagi memudahkan orang ramai membuat tuntutan, mendapat maklumat serta menyemak, pihaknya telah mewujudkan 121 kiosk yang ditempatkan di hospital kerajaan, hospital tentera dan universiti.

Katanya, sasaran pada tahun hadapan adalah untuk menubuhkan lagi 30 kiosk bagi meluaskan sasaran selain memudahkan urusan menuntut dan menyebarkan maklumat skim itu.

Khairul Anuar menjelaskan, kelebihan mySalam adalah, prosesnya sangat mudah dan cepat. Ahli hanya perlu sediakan dokumen yang lengkap dan tuntutan akan diproses hanya dalam masa tiga hari. Kos isi borang itu juga turut ditanggung oleh pihaknya.

Selain itu, menurut beliau, skim tersebut tiada tarikh luput untuk ahli membuat tuntutan dan jumlah tuntutan hospitaliti akan diperbaharui setiap tahun.

“Kelayakan skim mySalam juga berlaku secara automatik kepada sesiapa yang telah menerima BSH. Ahli hanya perlu semak kelayakan di mysalam.com.my.

“Jika statusnya layak, ahli terus boleh menuntut sekiranya dimasukkan ke wad,” jelasnya.

Tambah Khairul Anuar, manfaat yang diberikan oleh mySalam ialah RM50 elaun hospital harian sehingga 14 hari dan pembayaran tunai RM8,000 dibayar sekali seumur hidup apabila penerima menghidap satu daripada 45 jenis penyakit kritikal yang disenaraikan di laman web mySalam.

“Tujuan utama mySalam adalah untuk memberi pelindungan takaful kepada golongan B40 yang berumur 18 hingga 65 tahun. Sebagai contoh, jika punca rezeki utama menghidap penyakit kanser, secara langsungnya akan memberi kesan kepada anak dan isterinya.

“Pesakit tersebut boleh membuat tuntutan daripada mySalam untuk bantu kelangsungan hidup keluarganya sementara dia menerima rawatan di hospital,” ujarnya.

Berikutan pandemik Covid-19 yang menular, manfaat untuk mangsa wabak tersebut turut disediakan oleh mySalam.

“Kerajaan telah bersetuju untuk membuat pembayaran ke atas penerima BSH yang menjalani kuarantin akibat pandemik Covid-19.

“Mereka hanya perlu mengemukakan dokumen dan surat pengesahan yang membuktikan mereka telah diarah untuk menjalani kuarantin sama ada di rumah atau di pusat kuarantin,” kata Khairul Anuar lagi.

Beliau turut memberitahu, pihaknya akan membuat aktiviti pemasaran yang menyeluruh apabila Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) berakhir bagi menarik perhatian ramai tentang manfaat skim tersebut, terutama penduduk di kawasan pedalaman atau kampung yang tidak mempunyai akses kepada internet.

Katanya, adalah rugi jika pesakit yang dirawat di hospital tidak membuat tuntutan kerana dana yang diperuntukkan untuk skim mySalam oleh kerajaan bagi membantu golongan B40 adalah agak besar jumlahnya.

Khairul Anuar berharap orang ramai akan lebih mengetahui tentang skim mySalam dan menikmati kelebihan perlindungan percuma yang diberikan oleh mySalam pada masa akan datang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.