LBS catat jualan RM1.1 bilion - Utusan Malaysia

LBS catat jualan RM1.1 bilion

Peningkatan jualan LBS didorong oleh penawaran produk yang tepat dan memenuhi permintaan pasaran.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: LBS Bina Group Berhad (LBS) mencatatkan jualan sebanyak RM1.1 bi­lion sehingga 29 November lalu, melepasi sasaran RM1 bilion yang ditetapkan sebelum ini.

Pengarah Urusan Kumpulannya, Tan Sri Lim Hock San berkata, syarikat itu juga telah menerima tempahan berjumlah RM244 juta dan berharap tempahan tersebut akan direalisasikan sebagai jualan kelak.

“Prestasi jualan dan tempahan yang memberangsangkan membuktikan bahawa LBS menawarkan produk yang tepat dan memenuhi permintaan pasaran.

“Keadaan ini turut disokong oleh sambutan luar biasa terhadap projek pembangunan kami melalui kempen pemasaran yang berkesan iaitu #DudukRumah Deals Plus,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.

LBS mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM20.15 juta pada suku ketiga 2020, prestasi yang lebih baik berbanding untung bersih RM2.75 juta yang dicatat pada suku kedua.

Walau bagaimanapun, pres­tasi tersebut kurang baik berbanding suku sama tahun lalu apabila syarikat itu mencatatkan keuntungan bersih RM21.06 juta.

Keuntungan bersih terkumpulnya untuk sembilan bulan pertama 2020 juga berkurang daripada RM52.77 juta pada tempoh sama tahun lalu kepada RM32.24 juta tahun ini.

Menurut syarikat itu, prestasi yang lebih baik berbanding suku sebelumnya didorong pemulihan operasi perniagaan dan peningkatan aktiviti pembinaan setelah pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

“Kumpulan mencatatkan perolehan sebanyak RM336 juta dan keuntungan sebelum cukai (PBT) RM43 juta bagi suku ketiga berakhir 30 September 2020,” kata syarikat itu.

Dalam pada itu, Hock San melihat pengenalan semula Kempen Pemilikan Rumah (HOC) dan inisiatif Belanjawan 2021 membawa sinar harapan buat industri pembinaan.

“Pengenalan semula HOC te­lah membantu ramai rakyat Malaysia untuk memiliki rumah. Ditambah pula dengan inisiatif Bank Negara Malaysia (BNM) mengekalkan kadar dasar semalaman (OPR) pada tahap rendah akan meringankan lagi beban pembeli rumah.

“Kami amat mengalu-alukan inisiatif Belanjawan 2021 sebagai belanjawan yang inklusif dan berfokus untuk memberi sokongan yang besar terhadap ekonomi.

“Di samping mendukung agenda kerajaan untuk membangunkan negara, LBS akan terus membina projek berdasarkan tiga tonggak utama kami iaitu mampu dimiliki, kesalinghubungan dan komuniti,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya