Kuasa beli pengguna pacu ekonomi - Utusan Malaysia

Kuasa beli pengguna pacu ekonomi

Alain Yee (tengah) bersama rakan-rakan peniaga Shopee yang akan terlibat dalam jualan 12.12 sempena ulang tahun kelima syarikat itu di Kuala Lumpur, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Perbelanjaan peribadi pengguna dilihat akan terus menjadi pendorong utama pertumbuhan ekonomi negara tahun hadapan merangkumi hingga 60 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Sehubungan itu, Ahli Ekonomi Kanan UOB Malaysia, Julia Goh berkata, sektor runcit dan perkhidmatan luar talian harus mencari kaedah baharu untuk berkembang maju dalam persekitaran pasca pandemik untuk sekurang-kurangnya mengekalkan pekerja mereka.

Katanya, kadar pengangguran dan kehilangan sumber pendapatan mungkin menjejaskan kuasa beli pengguna yang penting untuk pertumbuhan ekonomi.

Beliau berkata, banyak usaha harus dilakukan kerana ekonomi telah mengalami kerugian diunjurkan berjumlah hingga RM67 bilion akibat kesan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dan PKP Bersyarat (PKPB).

“Satu cara adalah dengan mengintegrasikan strategi luar talian dan dalam talian bagi mengatasi perubahan yang diwujudkan oleh kebiasaan baharu dan memanfaatkan potensi ekonomi digital yang semakin meningkat.

“Sumbangan e-dagang kepada KDNK meningkat daripada RM89 bilion pada 2015 kepada RM127 bilion atau 8.4 peratus daripada KDNK pada 2019. Walaupun sumbangan jualan dalam talian kepada jualan runcit secara keseluruhan masih kecil, ruang sememangnya wujud untuk ia menyaksikan pertumbuhan kukuh,” katanya dalam majlis pelancaran 12.12 Jualan Ulang Tahun Shopee secara maya semalam.

Tambah Julia, permintaan konsumer yang lemah dan tahap kecairan perlahan telah menyebabkan perniagaan-perniagaan menghentikan operasi sama ada kekal atau sementara dengan difahamkan sektor makanan dan minuman telah mengurangkan sebanyak 35 peratus daripada tenaga kerja semasa PKP pada bulan Mac.

Dalam pada itu, Ketua Pengurusan Peniaga Shopee Malaysia, Zed Li berkata, kerjasama antara perniagaan luar dan dalam talian menyaksikan Shopee menggunakan kelebihannya untuk berinteraksi dengan pengguna dalam talian secara serta-merta dan menggalakkan pembelian produk, tawaran set menarik dan baucar tunai.

“Kami mempersoalkan bagaimana kami dapat menyum­bang ke arah kelangsungan bagi perniagaan yang beroperasi secara fizikal dan mendapati peluang untuk memanfaatkan trafik kami yang tinggi bagi menarik pelanggan mengunjungi kedai mereka.

“Selain itu, pengguna juga dapat memainkan peranan dalam membantu syarikat kegemaran mereka mengekalkan aliran tunai yang lebih stabil dengan membeli tawaran mereka secara dalam talian sebelum ke kedai untuk membuat penebusan,” katanya.

Sempena jualan ulang tahun Shopee kelima pada 12.12 ini, pengguna setia Shopee dapat menikmati pelbagai tawaran termasuk penghantaran percuma dengan perbelanjaan minimum RM12, tawaran RM1 semasa Jualan Kilat Shocking Sale, aiskrim Family Mart percuma setiap hari daripada Shopee Farm dan ba­nyak lagi.

Shopee juga memperkenal rancangan permainan langsung baharu, Shopee Kotak Duit yang memberi ganjaran wang tunai sehingga RM12,000 kepada pengguna di samping rancangan pengiraan detik (countdown) secara langsung pada 11 Disember bermula pukul 9 malam yang menampilkan ramai bintang terkenal termasuk Sheila Majid, Faizal Tahir, Ruffedge, Misha Omar, Khai Bahar dan Dolla. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya