IHP turun 1.7 peratus - Utusan Malaysia

IHP turun 1.7 peratus

MOHD. UZIR MAHIDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Indeks Harga Pengguna (IHP) yang mengukur kadar inflasi bagi November susut 1.7 peratus kepada 120 daripada 122.1 pada bulan sama tahun lalu.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin memberitahu, penurunan IHP keseluruhan itu telah dipengaruhi penyusutan indeks pengangkutan sebanyak 11.1 peratus; perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain menguncup 3.3 peratus; pakaian dan kasut (-0.5 peratus) serta hiasan, perkakasan dan penyelenggaraan isi rumah (-0.1 peratus) yang menyumbang 45.7 peratus daripada keseluruhan wajaran.

Walau bagaimanapun, Mohd. Uzir berkata, makanan dan minuman bukan alkohol meningkat 1.4 peratus kepada 135.1 daripada 133.3 dalam bulan sama tahun lalu.

Menurut Mohd. Uzir, kumpulan tersebut menyumbang 29.5 peratus daripada keseluruhan wajaran IHP manakala kumpulan pelbagai barangan dan perkhidmatan turut menunjukkan peningkatan 2.3 peratus, diikuti kesihatan (1.0 peratus), pendidikan (0.6 peratus), minuman alkohol dan tembakau (0.5 peratus) serta perkhidmatan rekreasi dan kebudayaan (0.1 peratus).

“IHP tanpa bahan api menurun 0.1 peratus pada November 2020 berbanding November 2019.

“IHP tanpa bahan api adalah meliputi semua barang dan perkhidmatan kecuali petrol tanpa plumbum RON95, petrol tanpa plumbum RON97 dan diesel,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Mohd. Uzir, purata harga RON95 menunjukkan penurunan pada November 2020 iaitu RM1.63 seliter berbanding RM2.08 pada November 2019.

Katanya, purata harga RON97 turut menurun kepada RM1.93 seliter daripada RM2.62 manakala purata harga diesel susut kepada RM1.75 seliter daripada RM2.18 pada bulan sama tahun lalu.

Indeks teras pula meningkat 0.7 peratus November lalu berbanding bulan sama 2019 dengan antara kumpulan utama yang bertindak sebagai pendorong kepada kenaikan itu adalah kumpulan pelbagai barangan dan perkhidmatan (2.3 peratus); makanan dan minuman bukan alkohol (1.2 peratus); kesihatan (1.0 peratus); perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain (0.6 peratus) serta pendidikan (0.6 peratus).

IHP September menurun 0.2 peratus berbanding Ogos lalu dengan kumpulan utama menunjukkan peningkatan iaitu restoran dan hotel sebanyak 0.2 peratus, minuman alkohol dan tembakau (0.1 peratus), hiasan, perkakasan dan penyelenggaraan isi rumah (0.1 peratus), perkhidmatan rekreasi dan kebudayaan (0.1 peratus) serta pendidikan (0.1 peratus).

Sementara itu, IHP bagi tempoh Januari hingga November turut menurun 1.1 peratus berbanding tempoh sama 2019.

Indeks bagi semua negeri menunjukkan penurunan antara -1.2 peratus hingga -2.6 peratus bagi November berbanding bulan sama tahun lalu.

Penurunan tertinggi masing-masing dicatatkan Melaka serta Kedah dan Perlis yang menguncup 2.6 peratus diikuti Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan (-2.5 peratus); Sarawak (-2.4 peratus) dan Negeri Sembilan (-2.4 peratus).

Bagaimanapun, semua negeri mencatatkan peningkatan bagi indeks kumpulan makanan dan minuman bukan alkohol dengan peningkatan tertinggi dicatatkan Selangor dan Wilayah Persekutuan Putrajaya (2.0 peratus), diikuti Terengganu (1.8 peratus), Johor (1.7 peratus) dan Kelantan (1.5 peratus). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya