GST tingkat pendapatan negara - Utusan Malaysia

GST tingkat pendapatan negara

GST dikatakan satu sistem percukaian yang baik dan telus dari segi kaedah pelaksanaannya. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pelaksanaan semula cukai barang dan perkhidmatan (GST) dapat meningkatkan pendapatan negara selain memperkukuh kecekapan tadbir urus percukaian negara.

Dekan Sekolah Perniagaan dan Ekonomi (SPE), Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Datuk Dr. Azali Mohamed berkata, adalah wajar untuk kerajaan meneruskan sistem percukaian tersebut yang sebelum ini telah terbukti membawa kebaikan kepada negara.

“Dalam tempoh empat tahun kerajaan Malaysia melaksanakan sistem ini sejak 2015 hingga 2018, terbukti ia meningkatkan hasil kutipan negara.

“Jadi, sistem yang baik ini wajar diteruskan namun pada kadar yang lebih rendah iaitu dua ke tiga peratus sahaja,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Khamis lalu, Timbalan Menteri Kewangan II, Mohd. Shahar Abdullah berkata, pelaksanaan GST akan dikaji mengikut kesesuaian oleh kerajaan, termasuk dari segi kelemahan pelaksanaannya.

Beliau memberitahu Dewan Rakyat bahawa kajian itu akan turut melibatkan kesan keupayaannya menangani kegiatan ekonomi gelap, kos sara hidup dan harga barang.

GST yang berkuat kuasa pada 1 April 2015 sebelum digantikan dengan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) telah berjaya meraih kutipan sebanyak RM41 bilion pada 2016 dan RM44 bilion pada 2017.

Pelaksanaan SST bermula 1 September 2018 pula hanya mampu mengutip hasil berjumlah RM27.5 bilion pada tahun 2019 walaupun ia melebihi sasaran awal sebanyak RM22 bilion.

Menurut Azali, GST merupakan satu sistem percukaian yang baik dan telus dari segi kaedah pelaksanaannya.

Kata beliau, sistem itu telah diguna pakai oleh majoriti negara maju di dunia termasuk negara-negara jiran Malaysia.

“Pengenalan semula GST akan meningkatkan pendapatan negara kerana sebagai mana yang dilaporkan sebelum ini apabila GST dimansuhkan dua tahun lalu, hasil kutipan cukai oleh pihak Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) berkurangan hampir 50 peratus.

“Dengan mengenakan semula GST, tadbir urus cukai akan menjadi lebih sistematik dan cekap, malah negara akan dapat menambah perolehan daripadanya.

“Apabila pendapatan negara kukuh, pelbagai pembangunan infrastruktur boleh dilakukan selain memulangkannya semula kepada rakyat dalam bentuk program kebajikan dan sebagainya,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN