Glomac kekal maju di saat pandemik - Utusan Malaysia

Glomac kekal maju di saat pandemik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH

Sektor pembinaan merupakan antara industri yang terkesan teruk akibat penularan pandemik Covid-19. Hal yang sama berlaku kepada syarikat pemaju terkemuka tempatan, Glomac Berhad.
Namun begitu, syarikat tersebut berjaya mendepani cabaran apabila mencatatkan peningkatan keuntungan bersih dalam suku kedua berakhir 30 Oktober 2020 berjumlah RM9.1 juta.

Ikuti temu bual eksklusif wartawan Utusan Malaysia, SHAFIQAH SHUKOR dan jurugambar, AMIR KHALID bersama Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Glomac, DATUK SERI FATEH ISKANDAR MOHAMED MANSOR (GAMBAR) mengenai cabaran dan kedudukan kewangan syarikat tersebut, baru-baru ini.

UTUSAN: Apa yang Datuk Seri boleh rumuskan berdasarkan kepada prestasi suku kedua Glomac?

FATEH ISKANDAR: Dengan jumlah jualan belum direkodkan (unbilled sales) kami sebanyak RM649 juta, memang agak selesa. Bagaimanapun, pandemik Covid-19 ini ialah perkara serius kerana ia turut memberi impak kepada kami semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.
Pada bulan Mac hingga Mei memang sangat susah kerana tiada sebarang aktiviti ekonomi dibenarkan. Bagi perniagaan yang sebegini, dua perkara yang diutamakan ialah galeri penjualan dan pembinaan. Tanpanya memang kami tidak dapat menjalankan perniagaan.
Namun, kami bernasib baik kerana mampu selesaikan masalah itu dengan pantas selepas ekonomi dibuka semula. Bulan Julai, Ogos dan September merupakan bulan yang bagus buat kami dari segi penjualan dan pembinaan.

UTUSAN: Dalam keadaan pandemik, Glomac tetap berjaya mencatatkan peningkatan hasil, apakah strategi yang telah dilakukan?

FATEH ISKANDAR: Caranya ialah harus peka mendengar permintaan orang ramai pada waktu itu. Sediakan ruang atau tempat tinggal yang sesuai dengan keadaan semasa. Kami sedar ramai yang terpaksa bekerja dari rumah akibat pandemik Covid-19.
Lantaran itu, pembeli mahu tinggal di rumah yang besar selain mementingkan internet yang stabil. Jadi kami mengambil peluang itu untuk menyediakan ruang bekerja dan ruang belajar yang dilengkapi dengan internet. Dalam erti kata mudah, kita harus letakkan diri kita di tempat pembeli untuk tahu apa yang diperlukan.
Dari segi dalaman pula, kami melaksanakan langkah pengurangan kos. Namun begitu, kami cuba untuk tidak terlalu memberi impak yang besar kepada pekerja. Antara perkara yang dilakukan ialah, penjimatan elektrik.

UTUSAN: Walaupun masih ada untung, Glomac tetap terkesan dengan pandemik yang sedang berlaku ini. Boleh kongsi cabaran yang dilalui?

FATEH ISKANDAR: Bila aktiviti ekonomi sudah tidak sama seperti dulu, pasti kami juga terkesan. Antara perkara yang kami tidak dapat lakukan sekarang ialah majlis pelancaran. Jika dahulu boleh menjemput ramai orang, sekarang tidak lagi kerana harus menjaga penjarakan fizikal.
Bagi sektor pembinaan pula, prosedur operasi standard (SOP) semakin ketat dan dikawal selia. Mereka juga harus bekerja mengikut giliran, tidak boleh ramai yang bekerja pada masa yang sama. Perkara tersebut telah memperlahankan proses penyiapan pembinaan.
Selain itu, proses penjualan rumah juga memakan masa yang lama kerana operasi Memorandum Pemindahan (MOT) yang sangat perlahan. Tahap keyakinan orang ramai sekarang untuk membeli rumah juga semakin berkurang kerana ada yang kehilangan kerja dan ragu-ragu dengan tempoh pekerjaan yang ada.

UTUSAN: Berdasarkan pemerhatian Datuk Seri, bilakah industri pembinaan akan mampu pulih semula?

FATEH ISKANDAR: Apabila kita dah dapat vaksin. Namun setelah memperoleh vaksin tersebut, tempoh kestabilan harus diberikan sebanyak setahun. Selepas itu, baru boleh meramal apa yang bakal terjadi.

UTUSAN: Apa pendapat Datuk Seri tentang bantuan yang diberikan oleh kerajaan dalam Belanjawan 2021?

FATEH ISKANDAR: Bagi saya, apa yang dibentang dalm Belanjawan 2021 memang berpatutan. Cuma saya berharap pelaksanaannya akan menjadi lebih terurus. Bantuan yang diberikan itu menunjukkan kerajaan faham bukan semua orang mampu membeli rumah. Saya berharap kerajaan akan mengutamakan hartanah sewa untuk dimiliki buat golongan isi rumah berpendapatan rendah (B40).
Saya juga syorkan kepada kerajaan untuk mewujudkan satu agensi badan perumahan nasional untuk memudahkan urusan berhubung industri ini.

UTUSAN: Jika kita lihat sekarang, sektor hartanah di Amerika Syarikat semakin meningkat, bagaimana pula di Malaysia?

FATEH ISKANDAR: Sebenarnya, sektor hartanah di Malaysia sudah menurun sejak tahun 2016 lagi iaitu sejak bank memperkenalkan salah satu dasarnya iaitu nisbah pinjaman yang lebih rendah termasuk margin pembiayaan diturunkan.
Jadi, apa yang perlu diubah untuk memperbaiki situasi ini ialah menukar dasar dan polisi. Kenapa perlu memperketatkan polisi pinjaman buat orang muda? Saya harap pihak kerajaan akan memberi kelonggaran kepada orang muda kerana empat perkara yang penting dalam hidup ini ialah ilmu, pekerjaan, rumah dan kesihatan.
Keduanya, kita tidak perlu risau jika warga asing ingin membeli rumah di negara kita. Orang ramai risau jika warga asing membeli tanah di negara kita, harga rumah akan semakin meningkat. Ramai tidak sedar, warga asing tidak boleh membeli rumah yang berharga RM1 juta ke bawah.
Mereka tidak akan menjadi warganegara kalau membeli rumah di sini. Lebih banyak mereka habiskan duit di negara kita, lebih banyak keuntungan yang akan diperoleh.

UTUSAN: Apakah projek terbaharu Glomac dalam perancangan dan berapakah nilai pembangunan kasar (GDV) untuk setiap projek itu?

FATEH ISKANDAR: Kami sedang dalam perancangan membina enam projek terbaharu semasa separuh kedua tahun kewangan 2021 termasuk dua projek rumah mampu milik Rumah Selangorku masing-masing dengan GDV berjumlah RM4.8 juta dan RM9.6 juta.
Selain itu, Glomac juga akan membina dua lagi projek perumahan yang akan dilancarkan pada suku ketiga dan keempat tahun kewangan 2021 masing-masing dengan GDV berjumlah RM65 juta dan RM57 juta. Purata harga rumah bagi kedua-dua projek ini bernilai RM530,000.
Dalam masa yang sama, kami juga akan membina pejabat kedai dan rumah teres dengan nilai GDV sebanyak RM40.5 juta.
Kesemua projek baharu ini melibatkan GDV sebanyak RM176.9 juta. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya