Felda perlu lebih berhati-hati - Utusan Malaysia

Felda perlu lebih berhati-hati

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Hasrat Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) mengambil alih kepentingan dalam FGV Holdings Berhad disifatkan sebagai langkah yang lebih lestari sekali gus kos efektif dan efisien.

Namun begitu, Pengarah Pusat Pengurusan Penyelidikan Universiti Kewangan Islam Global (Inceif), Prof. Madya Dr. Baharom Abdul Hamid berpandangan, Felda seharusnya lebih berhati-hati dan melakukan pelan konsolidasi serta penstrukturan yang mapan.

Hal demikian menurut Baharom, mampu memberikan pula­ngan impak sosial yang menyeluruh bukan sahaja kepada Felda tetapi semua pemegang taruh­nya terutama golongan peneroka.

Beliau berkata, walaupun langkah tersebut mungkin dilihat sebagai satu aktiviti yang agak ‘mahal’ tetapi lebih kos efektif untuk kelestarian jangka masa panjang dengan kelangsungan peneroka wajar diberi keutamaan.

“Saya percaya pertimbangan yang sewajarnya telah dilakukan oleh pengurusan kanan Felda melihat daripada pelbagai sudut, kos dan faedah iaitu diantara menamatkan perjanjian pajakan tanah (LLA) atau pun mengambil alih FGV dengan langkah ini lebih lestari dan kos efektif.

“Pengambilalihan FGV sekali gus menjadikannya syarikat persendirian juga dijangka memberikan Felda lebih kuasa mencatur hala tuju bukan sahaja sektor perladangan malah industri hiliran serta subsi­diarinya,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Felda merancang untuk me­ngambil alih kepentingan dalam FGV dengan nilai RM658 juta iaitu melibatkan pemilikan 6.1 peratus daripada Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP) bernilai RM289.2 juta dan 7.78 peratus kepenti­ngan daripada Urusharta Jamaah Sdn. Bhd. bernilai RM368.8 juta.

Dalam notisnya mewakili Lembaga Pengarah Felda, Maybank Investment Bank berkata, agensi itu telah memandatangani perjanjian pembelian saham (CSPA) dengan kedua-dua syarikat tersebut kelmarin.

Notis tersebut turut memberitahu Felda dan pihak yang bertindak bersama (PAC) akan mempunyai kepentingan terkumpul melebihi 50 peratus setelah pengambilalihan itu selesai sekali gus mencetuskan tawaran ambil alih mandatori (MO).

Penganalisis CGS-CIMB, Ivy Ng dalam nota penyelidikannya pula memberitahu, Felda perlu membelanjakan RM3.1 bilion bagi memperoleh keseluruhan kepentingan yang tidak dimilikinya dalam FGV berdasarkan harga tawaran RM1.30 sesaham.

Langkah tersebut adalah le­bih murah berbanding anggaran FGV yang akan menerima pampasan antara RM3.5 hingga RM4 bilion tidak termasuk kilang sawit yang mungkin bernilai RM1 bilion secara pukal sekiranya LLA ditamatkan.

Mengulas lanjut, Baharom berkata, pengambilalihan itu membolehkan Felda menetapkan hala tuju FGV sejajar de­ngan visi yang diterapkan agensi berkenaan.

“Perkara ini sekali gus menjadikan lebih mudah untuk me­lakukan program dan aktiviti yang dapat memaksimakan impak dan pulangan kepada semua pemegang taruh Felda.

“Namun harus dipastikan ketelusan dan integriti pihak pengurusan daripada atas hingga ke bawah agar tidak berlaku ketirisan atau penyalahgunaan kuasa,” katanya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN