Felda dapat moratorium 2 tahun - Utusan Malaysia

Felda dapat moratorium 2 tahun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Bagi memastikan operasi harian dan komitmen perkhidmatan kepada warga peneroka berjalan lancar, Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) terpaksa membuat pinjaman dan kini menanggung jumlah hutang yang tinggi mencecah RM10.7 bilion.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed, pada September lalu, Felda telah memaklumkan kerajaan bahawa ia tidak mampu membayar balik beberapa hutangnya dan mempunyai masalah kecairan seba­nyak RM1.3 bilion.

“Sehubungan ini, kerajaan telah bersetuju untuk memberikan moratorium selama dua tahun kepada Felda untuk salah satu daripada hutangnya dan sebuah institusi yang lain memberi Felda moratorium selama enam bulan,” katanya menjawab pertanyaan lisan Datuk Ahmad Nazlan Idris (BN-Jerantut) di Dewan Rakyat semalam.

Mustapa berkata, di samping itu, hutang peneroka yang tinggi serta kadar kutipan hutang yang tidak memberangsangkan turut memburukkan lagi keada­an dan menjejaskan kedudukan kewangan Felda.

Katanya, Felda mula ber­depan masalah kewangan sejak 2013 antara lain dise­babkan penyenaraian FGV Holdings Bhd. di Bursa Malayaia pada 2012 menyebabkannya hilang sumber pendapatan pen­ting, ditambah harga kelapa sawit yang kurang memberangsangkan.

Beliau berkata, bagi memastikan Felda mencapai kemampanan kewangan dan kelestari­an, Jemaah Menteri pada 14 Oktober lalu telah meluluskan pelan pemulihan Felda.

“Antara syor yang diluluskan adalah penerbitan sukuk yang dijamin oleh kerajaan berjumlah RM9.9 bilion di mana RM6 bilion akan digunakan bagi mengurangkan beban hutang Felda dan bakinya akan digunakan untuk meningkatkan pendapatan teras iaitu melalui pengambilalihan pegangan saham FGV serta me­laksanakan penamatan Perjanjian Pajakan Tanah,” katanya.

Tambah Mustapa, pemulihan Felda tidak lengkap dengan tindakan kerajaan semata-mata, justeru pihak pengurusan Felda telah diarahkan untuk memantapkan lagi pengurusannya.

Bagi memastikan petunjuk pretasi utama yang ditetapkan dicapai jelasnya, Jawatankuasa Pemantauan Pelaksanaan dan Keberkesanan Pelan Pemulihan Felda telah ditubuhkan.

“Langkah-langkah pemulihan tersebut dijangka membawa hasil positif ke atas Felda pada 2023. Ini akan dapat memastikan Felda mencapai kejayaan seperti mana syarikat-syarikat perladangan utama lain dan berada di landasan yang lebih teguh bagi meluskan tanggungjawabnya sebagai agensi yang membe­la nasib lebih 100,000 keluarga peneroka tanpa kebergantungan kepada kerajaan,” katanya.

Dalam pada itu, menjawab soalan Datuk Seri Dr. Shahidan Kassim (BN-Arau) mengenai usa­ha kerajaan untuk menangani dakwaan Amerika Syarikat (AS) terhadap FGV menggunakan buruh paksa dalam penghasilan produk sawit, Mustapa menjelaskan, syarikat itu memberi komitmen yang tinggi serta mengambil langkah sewajarnya dalam usaha membatalkan Perintah Tahanan Pelepasan (WRO) sejak petisyen dikemukakan.

Beliau berkata, FGV telah berkomunikasi dengan Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan (CBP) AS melalui panggilan persidangan untuk mendapatkan penjelasan mengenai dakwaan itu dan langkah-langkah yang harus diambil untuk pembatalan WRO.

“Bagaimanapun, pihak CBP tidak dapat mendedahkan maklumat yang ditemui dan tidak mendedahkan sebarang maklumat lain mengenai hasil siasatannya termasuk sifat atau lokasi kejadian yang berkaitan dengan indikasi-indikasi tersebut.

“Namun, CBP memaklumkan kepada FGV bahawa ia akan mempertimbangkan petisyen untuk pembatalan WRO bersama-sama dengan maklumat atau laporan yang terhasil daripada audit oleh firma audit pihak ketiga yang boleh dipercayai, dan tidak menyebelahi mana-mana pihak,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.