Boustead sokong laporan rasuah BHIC - Utusan Malaysia

Boustead sokong laporan rasuah BHIC

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Boustead Holdings Berhad (Boustead) menyokong tindakan anak syarikatnya, Boustead Heavy Industries Corporation Berhad (BHIC) membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 26 November lalu.

Laporan tersebut adalah berkenaan kemungkinan salah laku dalam syarikat bersekutunya, Boustead Naval Shipyard Sdn. Bhd (BNS).

Boustead menegaskan bahawa mereka mengambil pendekatan sifar toleransi terhadap salah laku rasuah dan salah guna kuasa seperti yang digariskan dalam Akta SPRM 2009.

“Kami kekal komited terhadap nilai dan aspirasi yang terkandung dalam Kenyataan Polisi Antirasuah dan Korupsi syarikat.

“Ini termasuk mengekang perbuatan rasuah dan korupsi serta menegakkan piawaian integriti, akauntabiliti dan profesionalisme tertinggi dalam amalan perniagaan kami,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

BHIC membuat laporan SPRM terhadap kemungkinan salah laku dalam pembelian kapal perang pesisir (LCS) berharga RM9 bilion oleh BNS.

Menurut BHIC, dapatan audit forensik yang dijalankan pada Februari lalu telah diserahkan kepada SPRM pada September.

Projek tersebut dihadiahkan Kementerian Pertahanan kepada BNS pada 2011 melibatkan pembelian enam LSC untuk Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Pembelian tersebut menjadi kontroversi kerana menurut laporan berita, kapal yang sepatutnya dihantar pada April 2019 tidak dihantar walaupun pembayaran sebanyak RM6 bilion telah dibuat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya