Apple gagal dalam tuntutan saman - Utusan Malaysia

Apple gagal dalam tuntutan saman

Orang ramai merakamkan suasana di kedai Apple di Shanghai, China sempena pelancaran iPhone 12 baharu. Apple gagal dalam tindakan samannya ke atas sebuah syarikat permulaan membabitkan pelanggaran hak cipta di mahkamah Amerika Syarikat. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NEW YORK: Hakim persekutuan di Florida menolak tuntutan pelanggaran hak cipta Apple Inc. terhadap syarikat permulaan tempatan, Corellium LLC.

Perisian syarikat itu telah membantu penyelidik kese­lamatan menemui kelemahan dalam produk Apple termasuk iPhone.

Hakim Daerah Amerika Syarikat (AS), Rodney Smith membuat keputusan untuk menyokong Corellium LLC dengan alasan perisian yang dikatakan meniru sistem operasi IOS itu merupakan penggunaan yang wajar kerana ia transformatif dan membantu pemaju untuk mengesan kekurangan dalam keselamatan.

Apple pada dasarnya, me­nuduh Correlium meniru IOS untuk mengendalikan peranti IOS secara maya yang berfungsi menjalankan salinan sistem yang tidak sah bagi perkakas bukan Apple.

Namun, hakim yang berpusat di Fort Lauderdale itu berkata, Corellium telah menambah sesuatu yang baharu untuk IOS dengan membenarkan pengguna melihat dan menghentikan pro­ses yang dijalankan, mengambil gambar secara langsung dan menjalankan operasi lain.

“Motivasi keuntungan Corellium tidak menjejaskan pertahanan penggunaanya, terutama apabila produk itu memberi kelebihan kepada orang awam,” jelasnya.

Hakim itu turut menolak hujah Apple bahawa syarikat permulaan Delray Beach itu berniat jahat kerana menjual produknya secara tidak sah yang berpotensi dibeli oleh penggodam.

“Hujah itu kelihatan seperti sengaja ingin disensasikan dan membingungkan. Apple yang berpusat di Cupertino, California juga tidak mengenakan syarat pelaporan di bawah program Bug Bountynya,” tambahnya.

Bagaimanapun, Apple masih belum memberi tindak balas dan enggan memberi komen buat masa ini.

Smith turut menjelaskan bahawa Apple masih boleh membuat tuntutan undang-undang persekutuan berasingan bahawa Corellium dapat melepasi langkah keselamatan Apple semasa membuat perisiannya.

Corellium ditubuhkan pada Ogos 2017. Menurut rekod mahkamah, Apple pernah cuba membeli Corellium pada Janua­ri 2018 namun perbincangan itu telah berakhir pada musim panas yang lalu.

Apple mengenakan saman terharap Corellium pada Ogos 2019. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.