76 peratus majikan mahukan siswazah baharu - Utusan Malaysia

76 peratus majikan mahukan siswazah baharu

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Prospek pekerjaan untuk siswazah baharu pada dua tahun mendatang dijangka cerah apabila satu kajian baru-baru ini menunjukkan, lebih tiga perempat daripada majikan cenderung untuk menggaji golongan itu.

Kajian bertajuk `Universiti Terbaik Pilihan Majikan’ yang dijalankan oleh Talentbank mendapati, 76.3 peratus daripada 196 organisasi optimis mereka akan mengambil siswazah baharu bekerja pada 2022, manakala 73.41 peratus lagi mahukan perkara sama untuk tahun hadapan.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Talentbank, Ben Ho, dapatan kajian tersebut adalah berita yang memberangsangkan ketika dunia dilanda ketidaktentuan akibat pandemik Covid-19 dan banyak syarikat mengurangkan pekerja untuk terus mampu menghadapi krisis.

“Ini juga bermakna universiti swasta dan awam di negara ini menghasilkan siswazah dengan set kemahiran yang tepat seperti diperlukan industri,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.

Menurut Ben Ho, 80.35 peratus daripada 196 organisasi yang terlibat ialah organisasi bersaiz sederhana dan besar, manakala 33.53 peratus lagi syarikat dalam senarai awam.

Sebahagian besar responden terdiri daripada pegawai-pegawai kanan di organisasi-organisasi tersebut.

Kajian itu juga mendapati siswazah dalam bidang perakaunan, pengurusan perniagaan, pemasaran, pengkomputeran dan teknologi maklumat, pengurusan sumber manusia, kejuruteraan mekanikal, kejuruteraan elektronik dan elektrikal, komunikasi massa, ekonomi dan perbankan mempunyai prospek kerjaya yang cerah.

Selain itu, gaji bulanan yang ditawarkan kepada siswazah baharu pula berada dalam purata antara RM2,501 hingga RM3,000 sementara elaun latihan amali pada purata RM1,000 setiap bulan.

Menurut Ben Ho, majikan juga ditanya tentang kecenderungan mereka untuk mengutamakan penilaian terhadap pencapaian akademik atau sikap dalam diri siswazah baharu.

“Jawapannya tidak mengejutkan. 99.1 peratus responden memilih sikap yang baik berbanding keputusan akademik manakala 8.09 peratus lagi menekankan kecemerlangan akademik.

“Keputusan ini menunjukkan permintaan yang semakin tinggi untuk bakat-bakat yang serba boleh, boleh mendapatkan kemahiran baharu dan menerima tanggungjawab baharu,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya