SME Bank raih Anugerah ADFIAP - Utusan Malaysia

SME Bank raih Anugerah ADFIAP

logo sme bank
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Dua inisiatif pembangunan usahawan di bawah SME Bank telah berjaya meraih anugerah daripada Persatuan Institusi Pembangunan Kewangan Asia dan Pasifik (ADFIAP) sempena Mesyuarat Agung Tahunan Ke-43 persatuan itu penghujung bulan lalu. 

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, kementerian itu sentiasa memberi sokongan kepada SME Bank untuk menganjurkan pelbagai program melangkaui pembiayaan bagi menyokong pembangunan usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan. 

“Komitmen ditunjukkan SME Bank dalam mendukung mandat diberi telah mendapat pengiktirafan apabila dua inisiatifnya, program pengeksport terbaik (BEP) telah memenangi Anugerah Projek Pembangunan PKS Terbaik. 

“Satu lagi inisiatif iaitu Platform Digital PKS Kebangsaan pula telah memenangi Anugerah Projek Pembangunan Teknologi PKS Terbaik oleh ADFIAP,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Platform Digital PKS Kebangsaan adalah sebuah inisiatif kerajaan yang diselia SME Bank sebagai sebahagian daripada pelan transformasi dua tahun institusi perbankan itu. 

Di bawah inisiatif tersebut, SME Bank telah memperkenalkan aplikasi ScoreXcess bagi memudahkan usahawan mikro dan kecil mendapat akses pembiayaan dengan satu lagi aplikasi di bawah platform tersebut iaitu ODELA turut menyediakan platform e-dagang khusus untuk perniagaan-ke-perniagaan. 

Dalam pada itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SME Bank, Aria Putera Ismail berkata, institusi perbankan itu sentiasa melihat ke hadapan bagaimana untuk membantu sektor PKS negara melalui setiap program intervensi dan inisiatif seperti BEP yang memberi nilai tambah untuk membantu usahawan meneroka pasaran antarabangsa. 

“Keahlian SME Bank dalam ADFIAP membolehkan kami untuk saling berbincang, berkongsi pengalaman dan pendapat tentang pembangunan sektor PKS di peringkat antarabangsa. 

“SME Bank akan terus kekal komited dalam menyediakan perkhidmatan holistik khusus untuk PKS tempatan agar kami dapat menyokong aspirasi kerajaan dalam melahirkan lebih ramai usahawan berjaya yang bertaraf antarabangsa,” katanya. 

ADFIAP yang ditubuhkan pada tahun 1976 merupakan sebuah pertubuhan terbesar dan berprestij di rantau Asia Pasifik dianggotai bank pembangunan dan institusi kewangan yang terlibat dalam pembiayaan pembangunan. 

Keanggotaan ADFIAP terdiri daripada 87 buah institusi daripada 36 buah negara termasuk Bank Pembangunan Asia (ADB) yang menjadi anggota khas. 

Pertubuhan itu juga merupakan sebuah organisasi bukan kerajaan dalam status perundingan dengan Majlis Ekonomi dan Sosial Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).  – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya