Rempah AMS sohor seluruh Johor - Utusan Malaysia

Rempah AMS sohor seluruh Johor

ABDUL WALID dan isterinya, Sherina Hassan menunjukkan pelbagai jenis produk berasaskan rempah yang dikeluarkan syarikat mereka, AMS Sdn. Bhd. – UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Bermula dengan modal permulaan RM300,000, syarikat penyedia dan pembekal rempah terkenal Johor, AMS Sdn. Bhd. kini terus berkembang maju mencecah usia 49 tahun.

Diasaskan oleh Mohamad Sha­riff Abdul Karim, perniagaan berasaskan rempah itu diambil alih anaknya, Abdul Walid Mohamad Shariff, 51, yang kini menerajui jenama rempah AMS peninggalan ayahnya.

Menurut Abdul Walid, bermula pada 1969 di Pandan, Johor Bahru, Allahyarham bapanya mula menjalankan proses rempah kari ikan, daging dan briyani kurma dengan semua dilakukan secara manual.

Katanya, hasil tangan bapanya dalam membuat rempah hasil akhirnya menjadi buah mulut sehingga mendapat sambutan mengalakkan orang ramai yang menginginkan cita rasa rempah yang asli.

“Arwah bapa melakukannya secara sendiri, kadang-kala dibantu oleh saya dan ahli keluarga lain. Bermula daripada itu, saya mula belajar dan mengenali cara membuat rempah daripada awal sehingga dipasarkan.

“Saya belajar membuat rempah sejak kecil terutama ketika cuti sekolah secara suka-suka. Kini bapa sudah meninggal dunia dan legasi peniagaan diteruskan oleh saya sehingga ke hari ini,” katanya ditemui di sini baru-baru ini.

Dalam pada itu, Abdul Walid berkata, sebaik mengambil alih perniagaan sekitar 1992 selepas kematian bapanya, dia lantas mengembangkan lagi pasaran rempahnya ke serata Johor.

“Alhamdullilah dengan bantuan isteri dan anak-anak, perniagaan rempah terus mendapat permintaan orang ramai khususnya yang sudah mengenali jenama AMS,’’ tambahnya lagi.

Menurut Abdul Walid, isterinya Sherina Hassan, 47, yang juga pengarah syarikat banyak membantunya terutama dalam membuat kerja-kerja pentadbiran sementara anak-anaknya membantu dalam memasarkan produk.

Kini perniagaannya terus berkembang maju dengan pelbagai produk berasaskan rempah antaranya rempah nasi arab, serbuk kari ikan, daging dan briyani kurma.

Selain dari memasarkan produk rempah, syarikatnya juga memasarkan tepung kacang hijau dan tepung muruku yang diproses sendiri.

“Isteri saya turut memasarkan pes asam pedas asli yang dibuat sendiri sesuai dengan cita rasa orang ramai,’’ jelasnya.

Dalam pada itu, dia meng­akui cabaran utama dalam dunia perniagaan ialah persaingan dalam kalangan pengeluar rempah lain di samping perlu memenuhi permintaan secara dalam talian.

Bapa kepada tiga anak itu berkata, banyak tempahan dan pemasaran dibuat melalui panggilan telefon dengan edaran rempahnya boleh didapati di mana-mana kedai runcit serta pasar di seluruh Johor.

“Permintaan rempah akan meningkat setiap kali tiba musim perayaan antaranya hari raya, Deepavali dan musim perkahwinan selain majlis-majlis keramaian.

“Proses mengisar dan pembungkusan semuanya dibuat secara manual dan ini akan menaikkan lagi bau aroma rempah yang asli,” katanya.

Ditanya mengenai cabaran dalam dunia perniagaan, anak ke-10 daripada 11 beradik ini berkata, semua cabaran tersebut boleh diatasi dengan sifat sabar, tawakal, yakin dan sentiasa positif serta bersaing secara sihat.

“Ini tips kejayaan untuk usahawan khususnya ketika ini berhadapan situasi pandemik Covid-19 jadi memerlukan kesabaran,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×