KUALA LUMPUR: Permodalan Nasional Berhad (PNB) sewajarnya memberi perhatian kepada pelaburan dalam negara walaupun selepas melupuskan keseluruhan pegangan saham dalam Chemical Company of Malaysia Bhd. (CCM).
Ketua Ekonomi Pusat Kajian Pasaran Buruh Masa Hadapan Pejabat Insurans Pekerjaan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), Prof Madya Dr. Mohd. Yusof Saari berkata, pelaburan dalam negara penting bagi merancakkan semula ekonomi negara dan dapat mencipta peluang pekerjaan baharu.
Dalam masa yang sama, Mohd. Yusof menjangkakan pulangan bagi tahun kewangan 2020 dijangka berkurangan berbanding pemberian pulangan tahun lalu.
“Sama ada penjualan tersebut akan memberi kesan kepada pemegang unit saham semuanya bergantung kepada prestasi PNB secara keseluruhannya tahun ini.
“Sebenarnya elok diberi perhatian kepada pelaburan dalam negara kerana akan membantu merancakkan semula ekonomi negara dan mencipta peluang pekerjaan baharu,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.
PNB mengumumkan telah mencapai persetujuan dengan Batu Kawan Berhad (BKB) untuk melupuskan keseluruhan pegangannya dan dana unit amanahnya sebanyak 56.3 peratus dalam CCM pada harga RM292.8 juta.
Menurut PNB, harga tersebut mewakili premium sebanyak 69 peratus daripada harga saham purata berwajaran tiga bulan dan akan mencetuskan tawaran umum wajib oleh BKB untuk bagi saham dalam CCM.
Dalam masa yang sama, PNB turut melancarkan produk dana harga berubah baharu untuk Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB), iaitu ASN Imbang 3 Global yang melabur di pasaran kewangan luar negara dan terbuka untuk semua rakyat Malaysia dengan pelaburan permulaan minimum RM10.
Produk yang dilancarkan secara rasmi semasa majlis pelancaran Minggu Saham Digital (MSD) kelmarin itu telah dilanggan sebanyak RM290 juta melibatkan lebih 5,000 pelabur sejak ditawarkan dalam pasaran terhad 16 September lalu.
Mengulas pelancaran unit amanah baharu tersebut, Pensyarah Putra Business School Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Madya Dr. Abu Sofian Yaacob menyifatkan ia sebagai peluang baik PNB untuk mempelbagai pelaburan.
Menurut Abu Sofian, pasaran domestik menempuh cabaran besar akibat penularan pandemik Covid-19 dan masih belum pulih sepenuhnya. – UTUSAN










