KUALA LUMPUR: Sukar untuk melihat Petroliam Nasional Berhad (Petronas) bangkit semula dalam suku terakhir tahun kewangan 2020 selepas mencatat kerugian untuk dua suku berturut-turut.
Pensyarah Kanan Putra Business School (PBS), Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, disebabkan pandemik Covid-19 yang masih belum menemui penamat, Petronas akan terus berhadapan kesukaran untuk membaiki prestasi.
“Saya menjangkakan prestasi Petronas tahun hadapan juga akan kekal mencabar terutamanya pada suku tahun pertama namun akan kembali pulih dalam suku tahun seterusnya,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Syarikat minyak dan gas itu mencatatkan kerugian RM3.4 bilion pada suku ketiga 2020, jauh berbeza berbanding keuntungan RM7.4 bilion pada suku sama 2019.
Namun, prestasinya meningkat jika dibandingkan kerugian RM21 bilion pada suku kedua berakhir 30 Jun 2020 yang merupakan suku tahunan pertama syarikat itu mencatatkan kerugian sejak suku keempat tahun kewangan 2015.
Pendapatan Petronas turut menyusut pada suku ketiga 2020 sebanyak 25 peratus, apabila mencatatkan pendapatan sebanyak RM41.1 bilion berbanding RM55.1 bilion pada suku sama tahun lalu.
Menurut Petronas, penyusutan tersebut sebahagian besarnya disebabkan purata harga direalisasi yang lebih rendah untuk produk-produk utamanya.
Pendapatan terkumpul untuk tiga suku pertama juga menurun daripada RM176.2 bilion tahun lalu kepada RM134.7 bilion tahun ini.
Mengulas tentang pembayaran dividen tahunan tambahan sebanyak RM10 bilion kepada kerajaan, Ahmed Razman berpendapat ia tidak akan menjejaskan prestasi syarikat itu kerana ia telah diperuntukkan dalam perancangan Petronas sebelum ini.
“Rizab tunai Petronas masih lagi tinggi, yang mencukupi untuk menampung keperluan dividen dan perbelanjaan modal untuk tahun hadapan terutama peringkat domestik,” katanya. – UTUSAN










