Medini sedia jadi hub digital Johor - Utusan Malaysia

Medini sedia jadi hub digital Johor

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Medini Iskandar Malaysia Sdn. Bhd. (MIM) menyambut baik rancangan kerajaan negeri Johor untuk menjadikan Medini sebagai hub digital Johor seperti yang dibentangkan dalam Belanjawan 2021 negeri itu baru-baru ini.

Syarikat itu berkata, Medini sudah bersedia untuk menggalas peranan itu memandangkan bandar itu kini dilengkapi infrastruktur berkualiti seperti salur telekomunikasi untuk optik fiber, lampu trafik pintar, sistem pengawasan dan keterhubungan jalur lebar tinggi.

Ketua Syarikatnya, Mohamad Zamani Razali berkata, setakat ini MIM telah melaburkan RM1.4 bilion untuk infrastruktur-infrastruktur tersebut dan MIM sentiasa bersedia untuk bekerjasama dengan kerajaan negeri untuk rancangan itu.

“Melalui kepakaran pemegang saham kami, Mitsui Japan, MIM akan membekalkan per=lbagai penyelesaian pintar untuk membina ekosistem bandar pintar yang mampan.

“Kami berkongsi aspirasi yang sama dengan kerajaan negeri Johor untuk menarik pelabur asing dan tempatan dalam teknologi komunikasi dan maklumat (ICT) dan dalam masa sama menggalakkan pertumbuhan dalam sektor tersebut di wilayah selatan,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Iskandar Investment Berhad (IIB), Datuk Ir. Khairil Anwar Ahmad mengalu-alukan peruntukan yang diberikan kerajaan negeri Johor untuk inisiatif pembangunan bakat serta teknologi digital di Johor melalui Belanjawan Johor 2021.

Kata beliau, syarikat itu menghargai sokongan dan kepercayaan berterusan yang diberikan kerajaan negeri kepada IIB dalam menjadi rakan strategik kerajaan negeri bagi meletakkan Iskandar Puteri sebagai hub utama untuk dron dan robot, inovasi, pembangunan bakat serta teknologi digital.

“Kumpulan syarikat IIB mengutamakan teknologi digital dan pembangunan bakat untuk fasa pembangunan Iskandar Puteri yang seterusnya.

“Kami bersyukur atas peruntukan daripada kerajaan negeri memandangkan ia akan terus memacu pembangunan hub digital dan bakat di Iskandar Puteri yang akan menarik pelaburan berimpak tinggi serta bakat berkemahiran tinggi ke Johor.

“Kolaborasi bersama pelbagai pemain industri di bawah program Iskandar NEXT yang diumumkan baru-baru ini adalah langkah pertama kita ke arah matlamat itu dan pengiktirafan serta peruntukan yang diberikan kerajaan negeri sememangnya sebuah pemangkin yang penting,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya