Malindo nafi seleweng wang Perkeso - Utusan Malaysia

Malindo nafi seleweng wang Perkeso

Pandemik Covid-19 turut menjejaskan operasi Malindo Air sehingga memaksa syarikat itu melaksanakan pemberhentian pekerja. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Syarikat perbangan, Malindo Airways Sdn. Bhd. (Malindo Air) menafikan dakwaan pihak tertentu bahawa syarikat itu ‘menyimpan’ sebahagian wang yang diterima daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Sebaliknya, Malindo Air memberitahu syarikat penerbangan itu menyalurkan sepenuhnya apa sahaja jumlah yang diterima daripada Perkeso kepada kakitangannya.

Menurut Malindo Air, syarikat itu menerima sejumlah RM1.267 juta daripada Perkeso pada April 2020 di bawah Program Pengekalan Pekerjaan (ERP) dengan wang itu dikreditkan pada pertengahan Mei lalu dan disalurkan kepada 2,112 kakitangan.

Malindo Air berkata, sejumlah RM1.49 juta telah diterima pada akhir Jun dan dikreditkan kepada 2,478 kakitangan dengan sewajarnya.

“Selepas itu, apabila Perkeso menghentikan ERP dan menggantikannya dengan Program Subsidi Upah, hanya 196 kakitangan yang mendapat manfaat sama.

“Sebanyak RM235,200 diterima untuk Jun dan Julai 2020 yang mana Perkeso hanya keluarkan pada akhir Ogos dan September lalu.

“Meskipun demikian, Malindo Air telah memastikan bahawa kakitangan yang mendapat manfaat daripada kedua-dua skim Perkeso itu dikekalkan selama lebih tiga bulan sejajar dengan peraturan perundangan,” katanya dalam kenyataan semalam.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Malindo Air, Kapten Mushafiz Mustafa Bakri menyatakan, pendapatan bulanan syarikat itu sebelum penularan Covid-19 berjumlah RM200 juta sekali gus mampu menyokong gaji 5,000 kakitangan bernilai RM40 juta sebulan.

“Pandemik telah mengakibatkan hampir kesemua pesawat tidak dapat terbang sejak Mac lalu sekali gus memberi kesan kepada kewangan kami dengan purata pendapatan semasa hanya pada kadar 7.5 peratus sebelum pandemik berlaku.

“Bagaimana anda dapat terus mempertahankan status quo selama lapan bulan dan masih berterusan di saat hampir tiada pendapatan atau apa-apa jenis sokongan?,” soalnya dalam kenyataan itu.

Menurut Malindo Air, Covid-19 telah menghakis aliran tunai dan terpaksa mengambil langkah pengurangan kos besar-besaran untuk kekal bertahan termasuk mengurangkan 50 peratus penggunaan operasi pesawat dengan memindahkan 20 kapal terbang.

Syarikat itu juga telah meminta penangguhan dan rundingan semula kontrak dengan pembekal perkhidmatan termasuk pemajak kapal dan lapangan terbang.

Dalam masa yang sama, Malindo Air turut menegaskan bahawa walaupun syarikat itu telah melaksanakan pelbagai inisiatif termasuk Skim Pemisahan Sukarela (VSS) bagi 349 kakitangannya dan Skim Tidak Dibayar Jangka Panjang (LTU) untuk 439 juruterbang dan kru kabin, tanpa prospek segera bagi memulakan semula operasi seperti biasa namun terpaksa memberhentikan 1,861 kakitangan untuk terus beroperasi.

“Syarikat penerbangan ini menekankan bahawa kami bekerja rapat dengan Menteri Sumber Manusia, Datuk M. Saravanan; Ketua Pengarah Perhubungan Perusahaan, Khalid Jali; Jabatan Tenaga Kerja; Perkeso dan Pembangunan Sumber Manusia Berhad untuk membantu kakitangan yang diberhentikan bagi latihan dan kemahiran semula menjelang penempatan pekerjaan seterusnya.

“Lapan bulan sejak penularan Covid-19 dengan tiada gambaran sekatan akan dilonggarkan, pembukaan sempadan atau pandemik itu semakin reda, perjalanan udara global akan kekal dalam keadaan tidak menentu,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya