Komitmen SME Bank bantu PKS - Utusan Malaysia

Komitmen SME Bank bantu PKS

SME Bank XCESS merupakan inisiatif utama SME Bank dalam menyokong usaha kerajaan bagi mempercepatkan proses pemulihan dan pembangunan sektor PKS negara. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Mukadimah
SME Bank telah diberi mandat untuk membimbing dan membangunkan sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS) negara melalui pelbagai kemudahan pembiayaan perniagaan mengikut keperluan golongan itu.
SME Bank juga menyediakan pelbagai program pembangunan usahawan untuk meningkatkan kapasiti dan keupayaan usahawan PKS iaitu antara golongan yang paling terkesan penularan pandemik Covid-19.
Dalam temubual melalui e-mel bersama Utusan Malaysia, Presiden Kumpulan/Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank, Aria Putera Ismail bercakap tentang kesan pelaksanaan siri Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan pelan perniagaan bank berkenaan.
Beliau turut menyentuh usaha-usaha berterusan yang dibuat oleh SME Bank dalam membantu usahawan tempatan terutama kumpulan sasar sepanjang tempoh mencabar itu.

Aria Putera Ismail

UTUSAN: Sejauh mana Covid-19 memberi kesan kepada perniagaan SME Bank? Sejauh mana bank mampu bertahan mendepani situasi ini jika berlanjutan?
ARIA: Tidak dinafikan, Co­vid-19 telah menjejaskan prestasi bank-bank komersial dan institusi kewangan pembangunan (DFI) termasuklah SME Bank. Antara isu-isu yang perlu diberi penekanan termasuk pertama, risiko kenaikan kadar pembiayaan terjejas (NPF).
Kedua, risiko penyusutan modal bank. Tahap modal bank berpotensi terjejas dan kemampuan mengekalkan modal untuk tempoh beberapa tahun akan datang adalah sangat pen­ting untuk kelangsungan perniagaan dan pencapaian mandat kerajaan.
Ketiga, risiko penurunan kadar kecairan bank. Secara kese­luruhannya, kedudukan mudah tunai bank atau kadar kecairan bank-bank di Malaysia kekal sihat seperti yang ditunjukkan pada separuh pertama 2020 walaupun penangguhan hampir 90 peratus pembayaran pembiayaan runcit di bawah moratorium penangguh­an pinjaman automatik diper­kenalkan oleh kerajaan.
Keempat, bank perlu menyokong dan bertindak seiringan dalam melaksanakan inisiatif kerajaan dalam membantu PKS.
SME Bank sentiasa berhu­bung dengan Unit Pelaksana­an dan Koordinasi Stimulus Ekonomi Antara Agensi Nasional (Laksana) dari semasa ke semasa tentang inisiatif-inisiatif yang diumumkan oleh kerajaan. Bank harus mempercepat urusan kelulusan pembiayaan dan pengeluaran dana kepada PKS tetapi pada masa yang sama tidak bertolak ansur dalam pro­ses penilaian kredit.
Kelima, bank perlu lebih efektif dalam menghasilkan program-program pembangunan untuk melengkapi inisiatif kerajaan dalam membantu PKS. Bank akan terus mewujudkan program-program pembiayaan khusus untuk kumpulan sasaran terutama golongan unserved dan underserved serta menjalankan proses diagnostik dan program penambahbaikan kapasiti untuk pemohon pembiayaan yang tidak berjaya melalui anak syarikat bank, Centre for Entrepreneur Development and Research Sdn. Bhd. (CEDAR), supaya mereka ber­pe­luang mendapatkan pembiayaan pada masa hadapan.

Apakah usaha-usaha yang telah diambil oleh SME Bank bagi membantu pelanggannya yang terjejas akibat Covid-19?
Antara usaha itu ialah pertama, dana–dana pembiayaan PKS yang disediakan oleh Bank Negara Malaysia melalui Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin). Dana ini melibatkan peruntukan bernilai RM13.1 bilion dan seperti yang diumumkan di dalam Prihatin, ia akan terus ditawarkan kepada PKS sebagai usaha merancakkan semula aktiviti ekonomi.
Kedua, bank turut meringankan beban 230 penyewa di Kompleks Premis Usahawan SME Bank di 26 lokasi seluruh negara. SME Bank menanggung bayaran sewa bagi tempoh enam bulan moratorium iaitu dari April hingga September 2020. Selain itu, penyewa juga akan diberi pengurangan bayaran sewa sebanyak 50 peratus bagi tempoh enam bulan berikutnya, dari Oktober 2020 hingga Mac 2021.

Apakah pakej-pakej pem­biaya­an baharu yang ditawarkan oleh SME Bank kepada peminjam?
Antara pakej pembiayaan baharu yang ditawarkan kepada peminjam ialah inisiatif Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) di bawah kelolaan SME Bank, bermula 1 Julai 2020. Ia membabitkan pertama, Skim SME Go dengan jumlah peruntukan sebanyak RM1.6 bilion. Sasaran penerima ialah kontraktor kategori G2 dan G3 yang te­lah diberi kontrak untuk projek di bawah pakej rangsangan ini. Mereka yang tidak mendapat kontrak tersebut masih boleh memohon tetapi di bawah pakej pembiayaan biasa yang ditawarkan oleh SME Bank.
Kedua, Dana Transformasi Teknologi PKS (STTF) dengan jumlah peruntukan sebanyak RM500 juta. Kumpulan sasaran penerima adalah PKS sektor perkhidmatan dan pembuatan. Bagi dana ini, tempoh pembiayaan sehingga 10 tahun dengan pembiayaan maksimum sehingga RM3 juta dan margin pembiayaan sehingga 80 peratus daripada kos pembelian.
Ketiga, Pembiayaan Pelanco­ngan Penjana (PTF), membabitkan jumlah peruntukan sebanyak RM1 bilion. Kumpulan sasaran penerima adalah PKS dalam sektor pelancongan teras dan sektor berkaitan pelancongan yang berdaftar dengan Kementerian Pelancongan. Tujuan pembiayaan PTF untuk menyokong PKS dalam sektor pelancongan, melalui usaha mengekalkan keupayaan mereka dan membantu mereka membuat penyesuaian dan terus berdaya saing selepas negara pulih daripada Covid-19. Had pembiayaan sehingga RM300,000 setiap PKS.

Segmen perniagaan yang menjadi tumpuan pada 2021?
Berdasarkan penilaian had sektoral risiko kami, antara industri yang menjadi tumpuan termasuk industri tenaga yang boleh diperbaharui seperti pembekalan elektrik utiliti, gas dan air; industri makanan dan minuman; kesihatan, ekonomi digital dan telekomunikasi.
Industri makanan dan minuman menunjukkan peningkatan perbelanjaan dan penggunaan secara keseluruhan sebanyak 7.6 peratus walaupun sewaktu pandemik terjadi. Trend terkini industri ini melibatkan pendigitalan restoran dan ruang perniagaan.
Industri kesihatan pula melibatkan pembuatan barangan perubatan seperti sarung tangan dan alatan perubatan serta pembangunan dan penyelidikan (R&D) dalam bidang perubatan. Trend pelaburan terutamanya apabila syarikat berlumba untuk menghasilkan atau mengedar vaksin Covid-19 di masa hadapan.
Bidang ekonomi digital pula telah menyumbang sebanyak 18 peratus kepada KDNK pada 2019 dan dijangka meningkat kepada 20 peratus. Bidang tele­komunikasi pula membabitkan pelaburan dalam teknologi 5G dan menyokong fokus bank terhadap industri ekonomi digital.

Boleh kongsikan peranan SME Bank bagi Belanjawan 2021?
Antara peranan SME Bank adalah membabitkan pembia­ya­an PKS. SME Bank telah diberi mandat untuk menyelia dana bernilai RM300 juta di bawah Skim Lestari Bumi. Skim Lestari Bumi akan melihat SME Bank menyasarkan perusahaan mikro dan kecil bagi meningkatkan status perniagaan mereka ke peringkat yang lebih tinggi.
Selain dana yang diamanahkan di bawah SME Bank secara langsung, terdapat dana yang disediakan oleh BNM serta beberapa pembiayaan lain yang boleh diterokai oleh SME Bank. Contohnya, Kemudahan Bantuan dan Pemulihan Bersasar (TRRF) bernilai RM2 bilion; dana sebanyak RM2.7 bilion untuk melaksanakan pelbagai program dan projek penambahbaikan infrastruktur luar bandar; Kemudahan Teknologi Tinggi (HTF) bernilai RM500 juta dan peruntukkan besar sebanyak RM325 juta bagi meningkatkan penghasilan dan menggalakkan pembelian produk tempatan.
SME Bank juga terlibat dalam program pembangunan usahawan. Di samping bantuan pembiayaan, SME Bank melalui CEDAR juga melihat terdapat banyak peluang untuk membantu lebih ramai usahawan melalui pelbagai latihan keusahawanan dan peningkatan kapasiti dan keupayaan mereka. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN